Surat terbuka kepada para pengundi PRU15
REBUT PELUANG PULIH NEGARA DI PETI UNDI!
Ini adalah masa yang paling penting untuk anda, keluarga dan negara. Menolak calon yang korup dan integritinya diragui menjadi tanggungjawab kita semua.
Setiap undi kita adalah penentu bagaimana wajah Malaysia menuju lima tahun dan masa hadapan negara. Kita tidak harus menggadaikan nilai undi kita semata-mata kerana kecewa atau putus asa.
Sebagai warganegara, undi adalah hak yang perlu dipertahankan!
#RasuahBusters menyeru seluruh rakyat agar TURUN UNDI pada 19 November 2022 untuk:
PEMULIHAN EKONOMI
Ekonomi Malaysia perlu dibangunkan semula dengan adil, ketelusan, bebas daripada ketirisan dan sebarang anasir rasuah.
PERBAIKI DASAR NEGARA
Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah perlu dipertingkatkan. Ia dapat dilakukan melalui penambahbaikan dan penggubalan dasar serta polisi berkaitan integriti, governan dan anti rasuah.
BEDUNG KETIRISAN
Ketirisan dan penyelewengan perlu disekat dengan pemantauan yang wajar agar isu kemiskinan, keselamatan makanan, kenaikan harga barang dan rumah dapat dikawal dengan baik. Menyekat ketirisan mampu mengembalikan hak rakyat terhadap kemudahan kesihatan, pendidikan, pengangkutan, peluang pekerjaan dengan ia dijadikan agenda keutamaan dalam pentadbiran kerajaan.
KEHARMONIAN DAN KEMAKMURAN RAKYAT
Jaminan terhadap keharmonian masyarakat berbilang kaum untuk hidup aman dan makmur serta saling menghormati perbezaan di negara ini.
Jangan lepaskan peluang untuk pilih calon yang bersih daripada rasuah, berintegriti, bertanggungjawab, jujur, bersedia membela nasib rakyat dan bijak untuk menerajui negara ini.
#SatuJari adalah taruhan kita semua untuk kehidupan yang lebih berkualiti dan bermakna.
Tiada yang boleh menghalang kita pada Sabtu, 19 November 2022. Kita pulihkan negara di peti undi!
DIKELUARKAN OLEH PASUKAN TERAS #RASUAHBUSTERS
RABU, 16 NOVEMBER 2022
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!