Kastam keluarkan notis periksa dokumen cukai syarikat Invoke

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah mengeluarkan satu notis kepada syarikat Invoke Solutions Sdn Bhd berkenaan pemberitahuan pemeriksaan dokumen berkaitan cukai.

Kastam dalam kenyataan berkata, pemeriksaan ini mengenai cukai perkhidmatan di mana syarikat itu telah berdaftar di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018.

"Pemeriksaan ke atas dokumen yang akan dibuat adalah prosedur rutin bagi tujuan verfikasi audit serta khidmat nasihat ke atas Pengisytiharan Penyata SST-02 yang telah dibuat oleh pihak syarikat.

"Tiada sebarang serbuan yang dibuat oleh pihak kastam ke atas syarikat Invoke Solution sehingga ke hari ini," katanya pada Khamis.

Tambah kenyataan itu, pihak kastam menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan berunsur spekulasi dan khabar angin yang boleh menjejaskan kredibiliti kastam.

Pada Rabu, satu portal tempatan melaporkan berita bahawa pihak kastam akan menyerbu pejabat Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli itu selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaksanakan tindakan terbabit.

Susulan kehadiran SPRM ke pejabatnya itu, Rafizi mendakwa serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di premis syarikatnya adalah bermotifkan politik.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya hadir di pejabat syarikat tersebut bagi mengambil dokumen berkaitan siasatan ke atas syarikat itu pada Selasa dan hanyalah prosedur biasa.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!