Bola kontroversi Maradona dilelong lebih RM10 juta
SEBIJI bola yang menjadi kontroversi pada Piala Dunia 1986 di Mexico apabila pemain skuad Argentina, Deigo Maradona didakwa menggunakan tangan untuk menjaringkan gol dilelong pada harga AS$2.4 juta (RM10.92 juta) pada Rabu.
Maradona menjaringkan gol yang terkenal itu untuk Argentina ketika menewaskan England dengan keputusan 2-1.
Bola berwarna putih yang dimiliki oleh pengadil perlawanan dari Tunisia, Ali Bin Nasser dilelong di Graham Budd Auctions yang berpangkalan di United Kingdom (UK).
Argentina memenangi perlawanan itu selepas Ali membiarkan gol pertama kontroversi tetsebut dan pasukan itu terus memenangi Piala Dunia.
Menjelang lelongan, Ali berkata, beliau merasakan sudah tiba masanya untuk berkongsi bola tersebut dengan dunia dan berharap pembeli yang identitinya belum didedahkan akan memaparkannya kepada umum.
Maradona meninggal dunia pada usia 60 tahun akibat kegagalan jantung pada November 2020.
Ketika perlawanan, bekas bintang bola sepak itu berlari melompat bersama penjaga gol England, Peter Shilton dalam kotak pemalti dan didakwa menumbuk bola masuk ke dalam jaring gol. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!