Sukan SEA: Tiga atlet sandaran awal emas olahraga

Nor Sarah beraksi dalam acara lompat bergalah wanita. Foto Agensi.
Nor Sarah beraksi dalam acara lompat bergalah wanita. Foto Agensi.
A
A
A

TIGA pemenang pingat emas bagi acara olahraga pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, Mei lepas, diharap dapat mengekalkan kejayaan mereka pada edisi akan datang di Phnom Penh, Kemboja, tahun depan.

Ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, mereka adalah jaguh lempar cakera lelaki negara Muhammad Irfan Shamsuddin, Andre Anura Anuar yang beraksi dalam acara lompat kijang lelaki dan Nor Sarah Adi menerusi lompat bergalah wanita.

Selain ketiga-tiga atlet tersebut, Mohd Manshahar berkata, pihaknya turut menumpukan perhatian kepada pelari yang bersaing dalam jarak sederhana untuk membantu menyumbang emas negara.

"Kami akan tumpukan perhatian lebih kepada trek memandangkan tiada satu pun emas diraih dalam acara berkenaan di Hanoi," katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Atlet Fasa 1 Sukan SEA Kemboja 2023 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada Rabu.

Dua lagi emas negara dalam kem olahraga pada temasya dwitahunan edisi lepas disumbangkan oleh Jackie Wong (baling tukul besi lelaki) dan Grace Wong (baling tukul besi wanita) sekali gus menjadikan keseluruhan lima emas diraih skuad olahraga di Vietnam.

Dalam pada itu, Mohd Manshahar tidak menolak kemungkinan skuad olahraga akan berlatih di luar negara seperti Eropah dan Australia sebagai persiapan menjelang Sukan SEA ke-32 nanti.

Sukan SEA ke-32 dijadual berlangsung pada 5 hingga 17 Mei 2023. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!