PRU15: Ada pemimpin hanya pandai cakap, tak mampu berkhidmat
KUALA LUMPUR - Ada pemimpin politik hanya pandai bercakap tetapi tidak mampu memberikan khidmat yang baik kepada masyarakat.
Calon BN Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini boleh dilihat menerusi apa yang dijanjikan kepada rakyat dalam manifesto terdahulu tidak ditunaikan.
"Ada parti baharu atau gabungan parti baharu yang diwujudkan. Mereka ini cakap pandai tetapi soal penyampaian pada rakyat, apa dijanjikan dalam manifesto dia tak boleh buat.
"Sebab dia buat manifesto, dia tak ada pengalaman. Jadi dia buat benda yang kadang-kadang tak masuk akal sebagai contoh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dahulu macam-macam dia janji.
"Jadi lama kelamaan rakyat sudah jadi kurang keyakinan bahawa orang yang cakap banyak ini, cerita banyak ni... sebenarnya barulah kita tahu dia tak reti untuk menguruskan ekonomi," katanya ketika ditemui pemberita selepas walkabout di sekitar pekan Taman Maluri di sini pada Khamis.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu menambah ekonomi pada masa kini tidak seperti 20 atau 30 tahun lepas di mana ekonomi sekarang melalui satu zaman atau fasa yang agak mencabar.
"Kalau kita tidak ada kepakaran untuk mengolah ekonomi dan aktiviti dalam negara maka akhirnya kita masih di takuk lama," ujarnya.
Mengulas mengenai tempoh lebih kurang 48 jam berkempen, beliau berkata setakat ini menerima maklum balas yang baik daripada penduduk di sekitar kawasan Parlimen Titiwangsa.
"Saya melihat satu respons yang bagus apabila saya pergi semua tempat. Saya merasakan mereka sedar bahawa nak pilih kerajaan ini kena pilih kerajaan yang mempunyai kompetensi, integriti dan ada pengalaman mentadbir negara," jelasnya.
Dalam pada itu, Johari berkata, pengundi perlu sedar untuk mengundi wakil rakyat atau ahli parlimen perlu memilih seseorang yang boleh mengatasi isu-isu masalah setempat termasuk banjir.
"Kita tak nak masyarakat di kawasan ini apabila pilih wakil rakyat tidak mengenali calon itu tetapi tetap undi.
"Wakil rakyat itu tak pernah turun pun tapi apa gunanya undi wakil rakyat apabila terjadi sesuatu isu dan masalah, dia tak boleh datang untuk selesaikannya," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!