PRU15: Beberapa kerusi di Johor dalam 'genggaman' - Rafizi

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

JOHOR BAHRU - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa beberapa kerusi Parlimen di negeri ini sudahpun berada dalam 'genggaman' parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor berkata, perkembangan itu selepas melihat sokongan serta bacaan terkini terutama di selatan Johor yang memihak kepada PKR dan Pakatan Harapan (PH).

"Insya-ALLAH kalau ikut bacaan terkini, kita sudah menang di Johor Bahru dan juga sudah menang di kerusi selatan Johor termasuk Pasir Gudang, Tebrau dan Pulai," katanya ketika berucap dalam program Ayuh Malaysia Kita Boleh di Dataran Larkin di sini pada malam Rabu.

Hadir sama, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub dan calon-calon kerusi Parlimen PH Johor iaitu Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang), Jimmy Puah Wee Tse (Tebrau) dan Akmal Nasrullah Nasir (Johor Bahru).

Dari kiri; Jimmy Puah, Hassan dan Dr Maszlee bersama orang ramai dalam prorgam Ayuh Malaysia Kita Boleh di Dataran Larkin, Johor Bahru pada malam Rabu.
Dari kiri; Jimmy Puah, Hassan dan Dr Maszlee bersama orang ramai dalam prorgam Ayuh Malaysia Kita Boleh di Dataran Larkin, Johor Bahru pada malam Rabu.

Rafizi berkata, situasi itu amat memberangsangkan sekali gus menunjukkan keputusan BN untuk mengadakan PRU15 berdasarkan kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu adalah silap.

Calon PH bagi kerusi Parlimen Pandan itu berkata, BN seakan menggali kubur sendiri selepas perkembangan terkini tidak memihak kepada mereka akibat tersalah baca 'mood' rakyat.

Sementara itu, Salahuddin yang juga Pengerusi PH Johor berkata, pengundi perlu bijak memilih parti dengan memberi kemenangan kepada PH kerana turut mempunyai calon-calon profesional antaranya daripada latar belakang sebagai doktor, peguam dan arkitek.

Artikel Berkaitan:

"PH juga mempunyai ramai tokoh termasuk boleh menjadi menteri, apa yang bezanya kita tidak rasuah, tidak ambil duit rakyat dan kami tidak memperjudikan mandat rakyat dengan kepentingan peribadi," katanya.

Perkara berkenaan katanya, boleh dibuktikan semasa 22 bulan PH memerintah negara apabila tiada seorang pemimpin gabungan tersebut yang disabitkan dengan kes mahkamah.

"Ini yang terbaik untuk bangunkan semula negara Malaysia, kita mimpi untuk itu bukan untuk kami tetapi generasi akan datang," ujarnya yang juga calon PH bagi kerusi Parlimen Pulai.

Dalam pada itu, Dr Maszlee mendakwa, beliau menerima banyak keluhan guru-guru yang kini terbeban dengan tanggungjawab dipikul mereka termasuk diarahkan melakukan kerja-kerja di luar tugasan mereka.

Bekas Menteri Pendidikan Pendidikan itu berkata, semua masalah tersebut akan diselesaikan sekiranya PH menang dan kembali menjadi kerajaan di Putrajaya selepas PRU15.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!