PRU15: Waspada berita palsu di media sosial
PUTRAJAYA - Orang ramai diminta berwaspada dengan setiap maklumat yang diterima di media sosial kerana wujud tindakan menyebarkan berita palsu ketika fasa akhir kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, dalam tempoh 48 jam yang berbaki untuk berkempen, wujud berita palsu yang sengaja direka oleh pelbagai pihak untuk menarik perhatian pengundi.
"Cabaran orang ramai adalah untuk tapis semua berita sedemikian (palsu) dan jangan mudah terpengaruh. Buat perbandingan dan tapisan, jangan terima sahaja apa yang datang saat akhir,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sekalung Budi MenKOMM di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai berita tular di media sosial berkaitan ramalan dan dapatan kajian badan bebas berhubung sentimen penerimaan pengundi terhadap Barisan Nasional (BN) yang mendakwa BN ketinggalan untuk memenangi kerusi Parlimen berbanding parti lawan.
Sehubungan itu, Annuar berkata, media rasmi kerajaan iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) perlu memainkan peranan dengan membantu menyemak segala berita yang ditularkan di media sosial.
"Kita ada agensi rasmi Bernama dan RTM yang hanya melaporkan berita tepat, benar dan cepat. Harap ia dapat bantu rakyat mendapatkan pemberitaan sahih,” katanya.
Sementara itu, beliau berharap setiap projek yang telah dirangka oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dapat dilaksanakan mengikut garis masa ditetapkan demi kepentingan rakyat.
"Saya harap pelaksanaan Jalinan Digital Negara 1 dan 2 dapat dilaksanakan mengikut jadual dan projek Point of Presence (PoP) di 4,000 sekolah di seluruh negara juga telah kita keluarkan arahan kerja kepada semua kontraktor.
"Semua perlu dilaksanakan oleh K-KOMM dengan penuh kegigihan kerana kita mempunya warga K-KOMM yang berpengalaman.
"Saya harap menteri menggantikan saya dapat meneruskan rekod kecemerlangan,” katanya sambil memaklumkan penjenamaan K-KOMM menjadikan kementerian itu antara kementerian berprestasi tinggi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!