Rekod kebal Cheng Hoe bersama Selangor masih kekal

Pemain Selangor, Herlison Caion meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan pada perlawanan aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2022 menentang Terengganu FC di Stadium MBPJ pada Rabu.
FOTO- Bernama
Pemain Selangor, Herlison Caion meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan pada perlawanan aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2022 menentang Terengganu FC di Stadium MBPJ pada Rabu. FOTO- Bernama
A
A
A

MAGIS Tan Cheng Hoe bersama Selangor FC berterusan apabila beliau berjaya membawa skuad Gergasi Merah itu selangkah ke pentas final Piala Malaysia selepas menumbangkan Terengganu 3-1 pada aksi separuh akhir pertama pada Rabu.

Bukan itu sahaja, kemenangan Selangor ke atas naib juara Liga Super itu turut menyaksikan Cheng Hoe berjaya melebarkan rekod tanpa kalah kepada sembilan perlawanan sejak dilantik secara rasmi mengemudi pasukan itu pada 24 September yang lalu.

Menurut Cheng Hoe, beliau berpendapat rekod tanpa kalah yang diraih Selangor ketika ini bukan hasil usahanya semata-mata, malah ia turut disumbangkan barisan kejurulatihan dan pemain-pemain yang sentiasa komited melakukan tugas mereka.

“Sebagai jurulatih, rekod tanpa kalah saya anggap sebagai motivasi dan bukannya satu tekanan buat saya.

“Apa yang penting saya sangat gembira dengan aksi-aksi yang ditampilkan pemain Selangor ketika ini. Rata-rata kita lihat mereka setiap hari sentiasa melakukan tugasan dengan komited.

“Ini semua bukan hasil saya seorang, tetapi hasil kerjasama staf kejurulatihan dan pemain-pemain yang dapat mengekalkan momentum yang baik dalam pasukan ketika ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada aksi tersebut, skuad Gergasi Merah meraih gol menerusi jaringan Richmond Ankrah, Herlison Caion dan Sharul Nazeem Zulpakar manakala pasukan pelawat meraih jaringan tunggal hasil ledakan Kipre Tchetche.

Sementara itu bekas pengendali Kedah itu mengakui pasukannya masih belum boleh selesa memandangkan masih ada 90 minit yang perlu dilalui sebelum mengesahkan tiket ke perlawanan akhir.

Artikel Berkaitan:

Jelas Cheng Hoe, kualiti yang ada pada Sang Penyu tidak boleh dipandang rendah sambil menjangkakan ia bukanlah satu perkara yang mustahil untuk pasukan lawan dari ketinggalan dua gol pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Isnin depan.

“Sebagai jurulatih, saya masih lagi berpegang dengan prinsip tiada apa yang mustahil kerana saingan kekal berbaki 90 minit dan keputusan 3-1 bukanlah jaminan buat kita mara ke final.

“Namun, harus diakui keputusan yang diraih kali ini boleh dijadikan pemangkin semangat untuk kita bawa ke Terengganu meskipun pasukan lawan memiliki kualiti yang tidak boleh dipertikai,”ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!