PRU15: PH buat laporan polis isu provokasi pasang bendera

Ahmad Yusri (kiri) bersama Zamir ketika sidang akhbar di Kuala Terengganu pada Khamis.
Ahmad Yusri (kiri) bersama Zamir ketika sidang akhbar di Kuala Terengganu pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis berhubung kejadian provokasi melibatkan penyokong sebuah parti ketika jenteranya mahu memasang bendera di Batu Enam, Kuala Nerus pada malam Selasa.

Laporan dibuat Timbalan Pengarah Pilihan Raya PH Kuala Nerus, Ahmad Yusri Alias di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada jam 6 petang, Rabu bagi membolehkan polis menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.

Menurut Ahmad Yusri, kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam ketika tujuh jentera PH mahu memasang bendera di sekitar Batu Enam berikutan kawasan tersebut belum ada bendera parti berkenaan.

“Turut serta memantau kami pada waktu itu adalah calon PH Kuala Nerus, Datuk Suhaimi Hashim. Kami berhenti di bahu jalan yang selamat untuk mulakan pemasangan banting calon dan bendera PH.

“Keadaan tenang bertukar riuh apabila kira-kira 100 orang menyerbu pasukan kami sebaik saja saya membuka pintu. Mereka melaungkan perkataan ‘balik’, ‘ini kawasan kami’ dan beberapa perkataan lain yang kurang jelas didengari.

“Mereka mengetuk kereta dan menunjukkan lagak bengis dengan tujuan menakutkan kami. Melihat keadaan perkumpulan ramai yang sengaja mencetuskan provokasi, kami ambil keputusan berundur dari tempat kejadian,” katanya ketika sidang akhbar bersama Ketua Pemuda PH Terengganu, Zamir Ghazali di sini pada Khamis.

Video tentang provokasi tersebut tular dalam media sosial sejak awal pagi Rabu.

Sementara itu, Zamir berkata, PH telah memohon kebenaran daripada pihak polis untuk memasang bendera di Batu Enam dan bukannya dibuat secara semberono.

Artikel Berkaitan:

"Kita buat permohonan untuk pasang bendera dan telah mendapat keizinan pihak berkuasa.

"Dalam undang-undang demokrasi negara, tiada satu pun kawasan boleh di 'lock' oleh mana-mana parti politik, sebaliknya semua pemasangan bendera atau logo perlu mematuhi peraturan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!