PRU15: Calon PH Bangi batal kempen, tinjau persiapan di PPS
BANGI - Calon Pakatan Harapan Parlimen Bangi, Syahredzan Johan membatalkan program kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan banjir kilat melanda Taman Hijau, Kajang di sini pada Khamis.
Syahredzan kemudiannya membuat tinjauan persiapan di pusat pemindahan sementara (PPS) Bangi Lama bagi memastikan mangsa menerima bantuan yang secukupnya.
Menurutnya, dianggarkan 100 rumah terkesan, manakala lima keluarga sudah mendaftar di PPS dan pihak pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sedang mengusahakan bantuan.
“Saya juga melawat kawasan banjir kilat yang berlaku di Taman Hijau, Kajang dan mendengar aduan daripada penduduk mengenai banjir,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Khamis.
Hujan lebat berterusan sejak malam Rabu hingga awal pagi Khamis menyebabkan beberapa daerah di Selangor dilanda banjir dan paling terjejas adalah daerah Klang diikuti Sepang dan Hulu Langat.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Selangor sebanyak tujuh PPS dibuka sejak awal pagi melibatkan perpindahan lebih 800 mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!