PRU15: Pengundi luar negara ikuti calon melalui media sosial
KUALA TERENGGANU - Pengundi luar negara mengambil pendekatan mengikuti pergerakan calon-calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melalui platform media sosial.
NDT Inspector di sebuah syarikat swasta di Australia, Tengku Mohd Adzhair Tengku Ismail, 39, berkata, beliau lebih selesa mengambil pendekatan itu malah akan pastikan jika berlaku sesuatu isu, beliau akan teliti dengan lebih adil.
“Media sosial adalah medium wajib untuk saya ‘follow’ mereka (calon) dan saya akan pastikan saya dengar cerita daripada banyak pihak sebelum membuat sebarang keputusan.
“Paling penting perlu berlapang dada kerana setiap orang berhak menyuarakan pendapat dan suara masing-masing,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Mohd Adzhair berkata, PRU15 kali ini adalah kali kedua beliau mengundi pos sejak tinggal di negara itu pada 2010 dan hanya berkesempatan sekali sahaja pulang ke Malaysia ketika pertama kali dapat mengundi.
Beliau yang sudah berumahtangga berkata, pada PRU kali ini, beliau tidak dapat pulang memandangkan perlu bekerja selain mengambil peluang menggunakan perkhidmatan yang disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya kepada rakyat sepertinya yang bekerja di luar negara.
“Walaupun borang undi dapat lewat, saya sudah ada pilihan calon saya sendiri. Saya lebih suka memilih pemimpin yang kuat bekerja untuk rakyat, berintegriti dan dapat membangunkan negara dengan baik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!