PRU15: Kempen di Selayang harmoni tanpa provokasi
SELAYANG - Kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Selayang berjalan dalam suasana harmoni tanpa sebarang insiden provokasi dan kekecohan.
Calon BN Selayang, Chan Wun Hoong berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang laporan bahan kempen dirosakkan seperti yang berlaku di beberapa kawasan lain.
Menurutnya, pemilihan calon yang tepat memainkan peranan penting dalam mengawal pengikutnya untuk bersaing secara sihat dan matang.
"Apabila calon jalankan kempen secara sihat maka ahli-ahli turut melakukan perkara sama. Ini adalah semangat yang kita mahu amalkan ketika berkempen," katanya ketika diminta mengulas perkembangan kempen PRU15 di Selayang.
Selayang menyaksikan pertembungan lima penjuru antara penyandang kerusi tersebut, William Leong (Pakatan Harapan) yang akan ditentang Wun Hoong (BN), Datuk Abdul Rashid Asari (Perikatan Nasional), Sallehudin Amiruddin (Parti Pejuang Tanah Air) dan Muhammad Zaki Omar (Bebas).
Ditanya mengenai peluang kemenangan, Wun Hoong berkata, pihaknya yakin mampu memberikan persaingan sengit walaupun berdepan dengan William yang mempunyai kelebihan kerana telah menang kerusi itu selama tiga penggal.
"BN juga mempunyai kelebihan kerana mendapat kerjasama yang baik dalam parti komponen. Kami juga tidak datang hanya ketika pilihan raya sebaliknya telah bekerja keras sejak PRU14 lagi.
"Habis sahaja post mortem kami terus bekerja untuk rakyat. Dari situ kita nampak ada cahaya untuk berikan persaingan dan berkemungkinan besar boleh menawan semula Selayang," katanya.
Beliau yang kini berusia 43 memaklumkan, telah aktif dalam politik di Selayang ketika usianya 20 tahun apabila menjadi pegawai khas kepada ahli Parlimen ketika itu, Tan Sri Chan Kong Choy selama lapan tahun.
"Pada 2008, saya menjadi pegawai khas kepada Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang ketika itu merupakan Timbalan Menteri Pelajaran disusuli pada 2013 bersama Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menyandang jawatan Menteri Pengangkutan.
"Dari situ saya timba pengalaman untuk urusan di kawasan dan juga peringkat kerajaan pusat. Saya juga ada kelebihan dalam sektor korporat yang boleh saya gunakan untuk berikan perkhidmatan terbaik jika dipilih rakyat," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!