PRU15: Lebih 1 juta rakyat Pahang layak mengundi Sabtu ini

Zamree meninjau persiapan pusat mengundi biasa di SK Bukit Setongkol pada Khamis
Zamree meninjau persiapan pusat mengundi biasa di SK Bukit Setongkol pada Khamis
A
A
A

KUANTAN - Seramai 1.12 juta rakyat di Pahang akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini.

Pengarah SPR Pahang, Datuk Zamree Hamli berkata, daripada jumlah itu 2,917 adalah pengundi yang berusia 90 tahun ke atas.

"Kesemua pemilih akan menunaikan tanggungjawab mereka di 522 pusat mengundi biasa membabitkan 2,023 saluran.

"Proses pengundian bermula pada jam 8 hingga 6 petang pada Sabtu ini kecuali di beberapa kawasan pendalaman," katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Setongkol pada Khamis.

Beliau sebelum itu meninjau petugas SPR yang membuat persiapan awal seperti menyusun atur kerusi, meja, menampal poster dan papan tanda bagi membolehkan proses pengundian diadakan.

Zamree menjelaskan seramai 18,558 petugas ditempatkan di pusat mengundi biasa yang diketuai 14 Pegawai Pengurus SPR bagi setiap Parlimen.

Tambahnya, SK Bukit Setongkol antara pusat pengundian yang mempunyai 12 saluran mengundi.

Katanya, selain bangunan dan dewan sekolah, dua khemah turut dibuka di pekarangan sekolah bagi menampung pertambahan pengundi.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan data, terdapat pertambahan pengundi 18 ke atas di kawasan Parlimen Indera Mahkota selepas didaftar secara automatik dan disebabkan itu pertambahan saluran mengundi terpaksa dilaksanakan," ujarnya.

Sehubungan itu, Zamree menasihatkan pengundi membuat semakan melalui aplikasi MySPR Semak bagi memudahkan urusan.

"Melalui semakan itu, pengundi akan mendapat maklumat lokasi pusat mengundi biasa dan mengetahui saluran ditetapkan.

"Selain itu, pengundi diharap dapat mengikuti masa yang diberikan iaitu mengikut masa untuk mengelak berlaku kesesakan di pusat mengundi," kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!