PRU15: Isu-isu melagakan parti tidak jadi kudis - Tok Mat

Mohamad (tiga kanan) pada Program Sepetang bersama Tok Mat di Dewan Felda Raja Alias 2, di Jempol pada Khamis.
Mohamad (tiga kanan) pada Program Sepetang bersama Tok Mat di Dewan Felda Raja Alias 2, di Jempol pada Khamis.
A
A
A

JEMPOL - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan isu-isu yang melaga-lagakan pemimpin gabungan itu ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan menjadi kudis kepada mereka.

Malah beliau tidak menolak timbulnya hal itu disebabkan untuk memecahbelahkan pemimpin dalam gabungan itu.

"Macam-macam isu dibangkitkan oleh pihak tertentu untuk memecahkan kami. Itu tak jadi kudislah," katanya kepada pemberita selepas selesai Program Sepetang bersama Tok Mat di Dewan Felda Raja Alias 2, di sini pada Khamis.

Mohamad yang juga dikenali sebagai Tok Mat mengulas tangkap layar yang mengandungi perbualan kononnya daripada penyandang Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berlegar di media sosial yang mana individu bernama 'Boss KJ' dengan nada mengancam, selain memberitahu penerima mesej itu supaya 'menghapuskan', Mohamad di Rembau.

Bagaimanapun, Khairy Jamaluddin dalam hantaran di Twitter berkata, beliau akan membuat laporan kepada polis termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap pemilik akaun yang memuat naik perbualan palsu berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Mohamad yang juga calon Parlimen Rembau berkata, tiada isu besar mengenai BN pada pilihan raya ini.

"Tiada isu besar, orang nak cakap apa? Tiada isu besar yang boleh meletup. Habis-habis pun orang kata jangan undi BN, kalau undi BN Zahid (Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) jadi Perdana Menteri.

"Parti telah buat keputusan calon Perdana Menteri adalah Datuk Seri Ismail Sabri, tapi terpulang kepada budi bicara Agong untuk melantik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ketika berucap dalam majlis berkenaan Mohamad berkata, ketika BN mentadbir, kerajaan sudah bersetuju bagi pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Seremban ke Jempol sehingga ke sempadan Pahang.

"Mereka (syarikat) pada awalnya hendak bina laluan itu di jalan lama namun saya tidak bersetuju kerana akan mengakibatkan pengambilan tanah penduduk.

"Saya minta mereka kaji laluan termasuk melalui pinggir hutan namun semuanya dibatalkan apabila Pakatan Harapan ( PH) mentadbir negeri ini," katanya.

Jelasnya, sekiranya BN kembali mentadbir, lebuh raya baharu itu akan menjadi tumpuan untuk dilaksanakan semula bagi kemudahan penduduk sekali gus dapat memajukan daerah ini.

Media pada 2017 melaporkan pembinaan lebuh raya dari Seremban ke Temerloh, Pahang menjadi antara cadangan dalam draf Rancangan Tempatan daerah Jempol 2030.









Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!