PRU15: Tebar roti canai hingga 2 pagi
KUALA TERENGGANU - Seorang warga emas sanggup bersengkang mata menebar roti canai kepada orang ramai di markas Pas Kampung Batu Hampar di sini sehingga awal pagi.
Wan Othman Wan Salim, 64, berkata, dia menyediakan menu itu secara sukarela tanpa mendapat sebarang bayaran.
"Saya dulu seorang penjual roti canai tetapi sudah lama tak buat. Merata negeri saya merantau menjadi penebar roti canai.
"Pilihan raya kali ini saya tergerak hati untuk menjamu orang ramai di sini (markas) di atas permintaan kawan-kawan," katanya yang ditemui di markas Pas Batu Hampar di sini pada Khamis.
Othman berkata, dia seronok melihat orang ramai menjamu roti canai 'air tangannya' itu.
"Bukan selalu boleh jamu macam ini. Alang-alang ada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15), seronok juga berkumpul sambil makan-makan," katanya.
Menurut Othman, dia menyediakan empat kilogram doh roti canai bermula jam 9 malam.
Katanya, bahan mentah disediakan pihak markas termasuk kuah kari kambing yang dimakan bersama roti canai.
"Saya hanya dapat membantu dari segi tenaga sahaja, itu yang saya mampu tolong untuk mereka di sini dan juga demi parti (Pas)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!