TNB peruntuk RM1 juta bina rumah asnaf
YAN - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan RM1 juta bagi tujuan membina 20 buah rumah untuk asnaf terpilih pada tahun ini.
Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Kedah, Ismail Latifhi Teh berkata, pemilihan rumah dikenal pasti oleh Pejabat Ketua Perkhidmatan Pelanggan Bahagian Retail Kedah dengan kerjasama Majlis Agama Islam Kedah.
Katanya, projek pembinaan rumah yang dinamakan Baiti Jannati ini merupakan satu program tanggungjawab korporat TNB untuk membaiki rumah kediaman golongan yang memerlukan bantuan.
"Antaranya orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas dan penduduk miskin yang tinggal di luar bandar," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ismail, di peringkat TNB, projek ini mula dilancarkan pada tahun 2007 oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri di Pekan Pahang.
"Di peringkat nasional program seumpama ini dinaungi di bawah program sejahtera melalui inisiatif khazanah nasional yang telah dilancarkan Najib ketika menjadi Perdana Menteri di Maran Pahang pada tahun 2009," katanya.
Tambahnya, kos membaiki rumah bagi tahun 2007 hingga 2012 juga menggunakan peruntukan penuh daripada TNB
"Bermula tahun 2013 kos membaiki rumah menggunakan peruntukan agihan zakat perniagaan TNB.
"Bagi peringkat Kedah setakat tahun 2018 sebanyak 62 buah rumah telah berjaya dibaiki sejak tahun 2008 melibatkan kos sebanyak 2,826,000," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!