Tokyo keluar amaran tahap kedua tertinggi Covid-19
TOKYO - Kerajaan Metropolitan Tokyo pada Khamis menaikkan amaran Covid-19 ke tahap kedua tertinggi pada skala empat peringkatnya.
Amaran itu ditetapkan pada tahap kedua tertinggi buat kali pertama sejak 6 Oktober, kata Xinhua.
Pada mesyuarat pemantauan koronavirus kerajaan metropolitan pada Khamis, seorang pakar memberi amaran bahawa ibu kota negara itu "boleh dianggap memasuki gelombang jangkitan kelapan".
Sehingga Khamis, purata kes baharu Covid-19 tujuh hari di ibu negara adalah seramai 8,276, meningkat 24.7 peratus daripada seminggu sebelumnya, dengan kes harian melebihi had 10,000 dua hari sebelumnya, paras tertinggi dalam tempoh dua bulan.
Berdasarkan anggaran yang dibentangkan pada mesyuarat itu, dalam tempoh purata tujuh hari angka akan mencecah sekitar 12,300 menjelang akhir bulan ini jika jangkitan baharu meningkat pada kadar semasa.
Kemunculan semula virus itu berlaku selepas kerajaan Jepun menarik balik sekatan ke atas penumpang individu, perjalanan spontan dan had kemasukan harian bulan lepas.
Ia turut melancarkan program Diskaun Perjalanan Nasional, yang memberikan subsidi sehingga 11,000 yen (kira-kira AS$79) seorang yang melawat untuk tempoh maksimum tujuh malam.
Ketika Covid-19 dan influenza merebak secara serentak, kerajaan metropolitan berjanji pada mesyuarat itu untuk mempromosi keupayaan perubatan di ibu kota yang mampu merawat sehingga 127,000 pesakit luar yang mengalami demam setiap hari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!