Mungkinkah bersatu kembali selepas PRU15?
SEORANG rakan menulis di laman sosial: “Hubungan Perikatan Nasional (PN)-Barisan Nasional (BN) ini jika ia sebuah filem, genrenya adalah komedi romantik.”
Katanya, dia teringat filem Hollywood bertajuk It’s Complicated yang bergenre sebegitu apabila menulis status tersebut.
Filem lakonan Meryl Streep dan Alec Baldwin itu mengisahkan hubungan cinta tiga segi sepasang suami isteri yang sudah berpisah selama 10 tahun. Seorang lelaki lain turut terlibat sebagai orang ketiga antara mereka.
Nancy Meyers sewaktu mengarahkan filem tersebut ketika itu barangkali tidak menyangka karyanya akan disebut untuk merujuk hubungan antara dua parti besar nun jauh di Malaysia.
Namun, tidak terlalu sukar melihat perkaitan antara kedua-duanya, PN dan BN dengan It’s Complicated (2009) terutama pada hari-hari terakhir kempen Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15).
Hubungan dua parti itu sepatutnya tertutup mutlak sebaik sahaja mereka memasuki gelanggang pilihan raya sebagai dua entiti berbeza.
Namun, siapa menyangka Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjentik semula ingatan lama sewaktu masih bersama, dengan menimbulkan kemungkinan bersatu kembali selepas ‘pertarungan’ di medan PRU berakhir.
Kerjasama yang pernah dijalin dalam kerajaan sebelum ini menerusi pentadbiran dua Perdana Menteri barangkali diimbau dalam penjanaan idea tersebut.
Atau lebih manis untuk dikenang, ketika Pas dan UMNO berada dalam Muafakat Nasional yang dirintis dengan tadahan doa dan linangan air mata di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Ternyata ia tidak disenangi pasangannya dalam PN apabila pengerusinya sendiri menegur dan menegaskan mereka tidak memerlukan orang lain dalam perjalanan ke Putrajaya.
Menjelang hari pengundian, bayangan kerjasama BN-PN agak sukar dibuang daripada imaginasi pengundi.
Ia sama ada ditolak sama sekali rentetan kempen yang sudah berjalan lama, atau dapat dikompromi pengikut setia yang akan ‘cair’ dengan apa juga keputusan parti.
Apa pun keputusan mereka, ia hanya menunjukkan dinamika politik yang berubah lebih cepat daripada hati manusia. Maka, penyokong perlu bijak dengan tidak menghukum mana-mana parti dengan gelaran tidak sepatutnya kerana pasangan yang ditinggalkan semalam barangkali boleh diterima semula hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!