Jangan benarkan calon beri 'ole-ole' pilihan raya

Perunding kewangan, Shamsuddin Kadir
Perunding kewangan, Shamsuddin Kadir
A
A
A

SHAH ALAM - Hapuskan amalan orang kaya dan berduit harus jadi pemimpin kerana perkara seumpama itu akan mengundang perbuatan rasuah menjadi lebih berleluasa.

Perunding kewangan, Shamsuddin Kadir berkata, kebanyakan individu di negara ini yang naik menjadi pemimpin adalah mereka yang kaya dan mempunyai duit kerana kelebihan itu digunakan untuk 'menabur' kepada pengundi sebelum hari pengundian.

Sebagai contoh di kawasan pedalaman, katanya, pastinya orang kampung yang tidak banyak berfikir akan memilih orang yang telah memberi sumbangan berupa ole-ole pilihan raya kepada mereka.

"Bagi saya, perkara seperti ini perlu dihapuskan. Sekiranya situasi seumpama ini terus berlaku, ia bermakna masalah rasuah sangat berleluasa di negara ini.

"Tetapi sekiranya di dalam Parlimen itu ada semua jenis wakil rakyat iaitu orang kaya, ada kumpulan profesional serta ada juga orang miskin, ia memberi makna bahawa sistem pemilihan pemimpin sudah semakin bagus dan menampakkan rasuah itu sudah berkurangan.

"Namun kalau kita masih melihat bilangan yang mungkin tidak kaya itu dalam lingkungan 20 atau 30 orang sahaja, manakala selebihnya itu kaya raya terutama selepas menjadi wakil rakyat, maka ia satu yang perlu diperbetulkan," katanya.

Shamsuddin Kadir
Shamsuddin Kadir

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU-15 bertajuk 'PRU15: Beli Rakyat Dengan Wang' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis. Rancangan itu dihoskan oleh Asmaliza Mansor.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, sistem pentadbiran negara seakan tidak adil apabila parti politik yang tidak kaya dipinggirkan daripada menerima peruntukan segera dan perkara seumpama itu seharusnya diperbetulkan.

Oleh sebab itu katanya, banyak pihak hanya berminat untuk menyertai parti kaya dan mengamalkan perbuatan rasuah.

Jelasnya, parti yang bersih dan tidak ada rasuah dilihat tidak mempunyai sumber kewangan kukuh, sekali gus sukar untuk menyalurkan bantuan dengan segera kepada kumpulan pemimpin di bawahnya.

"Sebenarnya peruntukan itu sudah diluluskan, tetapi hendak bagi duit tidak ada. Jadi di mana hendak ambil duit bagi diberikan kepada Ahli Parlimen sekiranya parti itu miskin?

"Apabila tidak mendapat peruntukan, jadi ramai yang berebut hendak masuk parti tertentu kerana hendak jadi kaya.

"Malah sering berfikir bahawa tidak mengapa miskin dahulu kerana nanti parti boleh mengkayakan kita. Ia satu kesilapan besar kerana seseorang pemimpin itu hanya boleh naik disebabkan oleh rakyat yang mengundi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!