PRU15: Pengundi bukan Melayu beralih sokongan kepada BN

Ismail Mohamed
Ismail Mohamed
A
A
A

PAGOH - Barisan Nasional (BN) yakin pengundi bukan Melayu telah beralih sokongan kepada mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) khususnya di kerusi Parlimen Pagoh.

Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed berkata, kayu ukuran yang menjadi sandaran kenyataannya itu berdasarkan kehadiran ramai pengundi bukan Melayu dalam program yang dianjurkan BN di kerusi Parlimen itu.

"Kita boleh lihat nanti berbanding apa yang kami buat beberapa hari ini, gelombang bukan Melayu adalah meningkat.

"Dalam program bukan Melayu, orang Cina kalau dulu nak dapatkan (kehadiran) 500 orang agak sukar tetapi baru ini, program Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Pagoh telah menarik lebih 2,000 orang (bukan Melayu) datang ke program itu," katanya kepada Sinar Harian.

Ismail berkata, bagaimanapun sokongan pengundi Melayu di Pagoh dilihat seimbang antara BN dan Perikatan Nasional (PN).

"Ada sedikit persamaan iaitu turun dan naik.

"Apa pun saya penuh yakin di Pagoh ini semua nak perubahan, nak calon lebih muda dan bertenaga untuk memimpin pembangunan serta perpaduan di peringkat Parlimen Pagoh," katanya.

Sementara itu, Ismail merayu anak muda dan semua pengundi di Pagoh untuk pulang mengundi esok.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap pengundi di perantauan juga pulang ke Pagoh untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

"Jangan lupa bawa salinan kad pengenalan dan saya mohon undilah parti yang menjaga kebajikan rakyat," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 19 November ini, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada Selasa lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!