PRU15: Persatuan peniaga pasar malam umum sokong BN
IPOH - Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Melayu dan Pasar Malam Bergerak Bahagian Kinta mengumumkan sokongan terbuka terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Jaafar Uthman berkata, keputusan itu diambil secara sepakat selepas mengadakan mesyuarat persatuan baru-baru ini.
Jelas beliau, kata sepakat dalam kalangan ahli seramai 886 orang dicapai dalam mesyuarat itu untuk memberi sokongan sebulat suara kepada BN pada PRU kali ini.
"Pada PRU14 lalu, kami memberi sokongan penuh kepada Pakatan Harapan (PH) kerana ketika itu gelombang perubahan begitu mahu melihat pembaharuan ke arah lebih baik. Malangnya ia berlaku sebaliknya.
"Jadi untuk kali ini, kami sepakat untuk memberi sokongan kepada BN kerana memikirkan sumbangan yang diberikan kepada persatuan dan komuniti pasar malam walaupun mereka tewas pada PRU14 lalu," katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di Arena Perpaduan di sini, pada malam Khamis.
Menurutnya, pihak persatuan terhutang budi dengan bantuan dan kemudahan yang pernah diberikan oleh BN ketika menjadi kerajaan sebelum ini.
Jaafar berkata, komuniti usahawan kecil seperti peniaga pasar malam memilih parti yang mampu membawa kestabilan di dalam negara dan negeri ini sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, kestabilan dalam negara tidak akan mampu dicapai selagi ada pemimpin mementingkan diri sendiri dan mahu memenuhi dendam peribadi dengan mengorbankan kepentingan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!