Dihambat gelisah banjir berulang
KUANTAN - Penduduk lembangan Sungai Belat dihambat gelisah berkemungkinan berdepan musibah banjir sekali lagi susulan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Belat masih gagal disiapkan.
Rata- rata penduduk di beberapa kampung di sekitar lembangan sungai itu mengakui sudah tidak senang duduk setiap kali hujan lebat kerana kawasan penempatan mereka mungkin ditenggelami banjir seperti awal tahun lalu.
Penduduk, Siti Nur Irsyathna Rosli, 24, memaklumkan masih mengingati detik ketika rumahnya dinaiki banjir sehingga menyebabkan harta benda miliknya gagal diselamatkan.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dirinya tidak dapat tidur lena lebih-lebih kali ketika monsun timur laut bermula.
"Selepas banjir besar hari itu, saya sudah tidak membeli kelengkapan rumah seperti perabot, katil dan sebagainya kerana bimbang rumah naik air lagi.
"Pengalaman lalu membuat saya lebih berjaga-jaga dan hanya membuat persiapan awal dengan menyimpan barangan elektrik dan dokumen penting ditempat selamat bagi memudahkan proses menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui Sinar Harian rumahnya di sekitar Sungai Belat pada Jumaat.
Dia yang bekerja sebagai tukang masak mengakui tawakal dengan setiap musibah yang dihadapi sekali RTB Sungai Belat tidak disiapkan.
Jelas, jika benteng itu disiapkan ia pasti memberi kelegaan buat penduduk di sekitar kawasan ini.
"Saya harap rumah pam itu dapat berfungsi walaupun ia tidak siap sepenuhnya, sekurang-kurang ia mengurangkan risiko banjir,"ujarnya.
Sementara itu, penduduk Kampung Teluk Mahang Dua, Azmadi Hussin, 45 berkata kejadian banjir besar Disember tahun lalu, begitu perit dilalui keluarganya.
"Boleh dikatakan setiap tahun saya berdepan dengan situasi ini, tapi banjir tahun lalu paling perit apabila air naik mendadak dalam beberapa minit sahaja.
"Saya tidak sempat hendak mengemas barang, sebaliknya terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) untuk menyelamat diri dan keluarga," ujarnya yang merupakan penjawat awam.
Justeru, dia berharap agar projek itu dalat dipercepatkan kerana tidak mahu berdepan dengan banjir yang menyebabkan kerugian harta benda selepas rumah ditenggelami sehingga 1.5 meter.
"Saya yang berada berhampiran dengan rumah pam di sini berharap projek ini disegerakan sejak dimulakan pada 2018," kata Asmadi lagi.
Seorang lagi, penduduk di Taman Guru, Ahmad Fazdheim Sharafidz, 35, meminta rumah pam siap secepat mungkin dan berfungsi sepenuhnya sekiranya berlakunya banjir.
Tambahnya, penduduk Taman Guru tidak mahu lagi berdepan dengan banjir kerana sebelum ini kawasan perumahan itu mula dilanda banjir.
"Bagaimanapun, Disember tahun lalu, air masuk ke dalam rumah sehingga paras lutut. Pada kali ini, saya buat persiapan awal dengan menyimpan barang elektrik di tempat selamat.
"Bila barang sudah siap kemas, sampai masa (air naik) masa lari (menyelamat) diri sahaja," katanya yang bekerja sebagai pengurus pemasaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!