Profesor Uniten disenarai saintis paling berpengaruh di dunia
SHAH ALAM - Profesor Kejuruteraan Elektrikal dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Profesor Dr M A Hannan mendapat pengiktirafan sebagai saintis paling berpengaruh di dunia daripada Clarivate Analytics melalui laporan Highly Cited Researchers™ 2022.
Pengiktirafan itu diberikan susulan hasil penerbitan kajiannya yang signifikan dalam bidang kejuruteraan terutama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui serta tersenarai dalam kedudukan teratas satu peratus sitasi (Top 1%) dalam tempoh 11 tahun iaitu dari Januari 2011 hingga Disember 2021.
Beliau merupakan di antara penyelidik yang terhebat daripada 69 negara yang mendapat pengiktirafan tersebut.
M A Hannan secara konsisten telah menerbitkan 255 artikel yang di indeks ‘Web of Science’ dengan jumlah sitasi 7,911.
“Penghormatan dan pengiktirafan ini diharap akan menjadi satu inspirasi kepada lebih ramai penyelidik dari Uniten untuk sentiasa tekun menjalankan penyelidikan yang akan membuahkan hasil penerbitan jurnal berimpak tinggi, sekali gus mengharumkan nama negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, Naib Canselor Uniten, Profesor Ir Dr Noor Azuan Abu Osman mengucapkan tahniah di atas kejayaan berkenaan dan menyifatkan kejayaan itu telah meletakkan Uniten di persada global dalam kecemerlangan penyelidikan saintifik.
Senarai saintis paling berpengaruh dunia itu telah disusun oleh pakar bibliometrik dari Institut Maklumat Saintifik, Clarivate.
Ia menggunakan 'InCites Benchmarking & Analytics™, Essential Science Indicators™’ dan kompilasi unik metrik prestasi sains dan tren data berdasarkan kiraan penerbitan kertas ilmiah dan data sitasi daripada Web of Science™, iaitu platform kepakaran penyelidikan dan penerbit indeks sitasi terbesar di dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!