Perak sedia tapak gerai baharu bantu peniaga

Yong (lima, kiri), ketika melawat tapak kebakaran baru-baru ini.
Yong (lima, kiri), ketika melawat tapak kebakaran baru-baru ini.
A
A
A

BATU GAJAH - Kerajaan negeri akan menyediakan tempat di Plaza Batu Gajah dalam usaha memastikan peniaga yang kehilangan gerai perniagaan dalam kebakaran di Jalan Pasar, kelmarin dapat meneruskan perniagaan yang diusahakan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak Yong Choo Kiong berkata, selain menyediakan tempat berkenaan, kerajaan negeri juga akan membantu peniaga dari segi sewaan.

Malah menurutnya, tempat yang disediakan itu juga boleh dijadikan tempat perniagaan kekal bagi peniaga-peniaga berkenaan.

"Saya telah adakan lawatan ke situ, kita akan selaraskan semula dan sediakan tempat di Plaza Batu Gajah supaya mereka boleh teruskan perniagaan.

"Keseluruhannya, kebakaran itu libatkan 11 kedai dan cuma tiga yang masih menjalankan perniagaan manakala satu lagi dijadikan stor," katanya bagi mengulas insiden kebakaran berkenaan.

Beliau ditemui pada sidang media sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) 2018 di Auditorium, Aras 1, Majlis Daerah Batu Gajah, petang tadi.

Hadir sama, Yang Di-Pertua (YDP) MDBG, Mohamad Razif Ramli.

Difahamkan seramai 17 kakitangan MDBG terpilih untuk menerima anugerah berkenaan kali ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Mohamad Razif berkata, tapak berkenaan akan dibersihkan bagi tujuan membina semuka gerai di situ.

Bagaimanapun katanya, kerja-kerja pembersihan itu hanya akan dilaksanakan setelah segala siasatan selesai.

"Selepas dapat laporan terperinci punca kebakaran, kita akan bersihkan tapak di situ.

"Kemudian kita juga akan mencari peruntukan bagi bina semula gerai-gerai perniagaan di kawasan itu," katanya.