PRU15: Gerak awal pagi, ramai semangat balik mengundi

Keadaan aliran trafik Lebuhraya Utara Selatan di Gopeng ketika tinjauan jam 11 pagi pada Jumaat. (Gambar kecil dari kiri: Muhammad Izzat, Priya dan Mohd Junaidi)
Keadaan aliran trafik Lebuhraya Utara Selatan di Gopeng ketika tinjauan jam 11 pagi pada Jumaat. (Gambar kecil dari kiri: Muhammad Izzat, Priya dan Mohd Junaidi)
A
A
A

IPOH - Menunggang motosikal selama lima jam dan menempuh perjalanan lebih 400 kilometer antara bukti kesungguhan yang ditunjukkan rakyat Malaysia sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Muhammad Izzat Ramli, 26, yang mengundi kali pertama sanggup menunggang motosikal sendirian dari Klang, Selangor untuk balik mengundi di Taiping.

Pekerja swasta itu juga terpaksa meninggalkan isteri dan anaknya di sana kerana lokasi pengundian mereka yang berbeza.

"Saya gerak dari rumah jam 5 pagi tadi, ada lebih kurang satu jam setengah lagi untuk sampai ke destinasi.

"Alhamdulillah cuaca baik dan perjalanan tadi walaupun kenderaan banyak, trafik masih lancar, harap dapat teruskan perjalanan dengan selamat sampai ke rumah," katanya ketika tinjauan di Hentian Rehat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di Gopeng di sini pada Jumaat.

Dia yang bakal mengundi di kerusi Parlimen Taiping dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Aulong tidak kisah menempuh perjalanan jauh lebih lima jam dengan menunggang motosikal kerana sedar akan tanggungjawab sebagai warganegara.

"Saya memang berazam nak balik mengundi, ini peluang kita untuk memilih pemimpin yang baik untuk kestabilan negara," katanya.

Guru, Priya Sridharan, 39, juga tidak mahu melepaskan peluang balik mengundi pada PRU15 ini memandangkan sebelum ini berdepan kekangan kerana berkhidmat lama di Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Anak kelahiran Pulau Pinang itu bersama suami bertolak awal jam 5 pagi dari kediaman mereka di Cyberjaya dan menjangkakan tiba di kampung halaman sekitar jam 11 pagi.

"Saya baru sahaja ditukarkan (mengajar) di Semenanjung dua bulan lalu dan saya sangat seronok kerana ada peluang balik mengundi.

"Tambahan pula kerajaan sudah sediakan tol percuma dan cuti umum, jadi sebagai rakyat kita kenalah balik mengundi. Tempuh jem sedikit tak mengapa asalkan kita semua balik mengundi," katanya yang mengundi di Parlimen Batu Kawan.

Kakitangan awam, Mohd Junaidi Mohd Nor, 34, yang bakal mengundi di Parlimen Gerik dan DUN Temengor mengakui tidak kisah dengan kesesakan yang terpaksa ditempuhi di laluan lebuh raya asalkan dapat balik mengundi.

Katanya, sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur bermula jam 4 pagi, aliran trafik agak perlahan dan terhenti seketika di Tanjung Malim yang disebabkan oleh kemalangan.

"Saya berhenti sekejap di RTC ini untuk berehat bersama isteri dan anak-anak. Walaupun memang dah jangka jalan akan sesak, tetapi saya dan isteri memang nak balik untuk mengundi," katanya.

Sementara itu, tinjauan dilakukan Sinar Harian di hentian itu mendapati, ruangan tempat letak kereta penuh dengan kenderaan balik ke kampung.

Ruang makanan serta kemudahan tandas dan surau pula dipenuhi orang ramai menggambarkan suasana tidak ubah seperti cuti perayaan.

Pemantauan keadaan semasa aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur keluar Gopeng pula mendapati setakat jam 11 pagi laluan arah utara masih lancar meskipun berlaku pertambahan kenderaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!