‘Jauhi rasuah, kembali kepada Rukun Negara’ - Uncle Kentang
PUCHONG - "Ubat untuk melestarikan semula negara adalah dengan menangani rasuah serta kembali kepada prinsip Rukun Negara."
Demikian tegas aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau mesra disapa Uncle Kentang yang menyatakan kesal apabila sebahagian rakyat termasuk pemimpin politik seolah-olah telah melupakan Rukun Negara.
“Apa yang menyedihkan kita hanya hafal (Rukun Negara) tetapi tidak menghayatinya. Pada PRU15 ini ramai yang dilihat hilang pedoman ketika berkempen dan saling menjatuhkan lawan menerusi fitnah memburukkan pesaing mereka.
“Mereka tidak bertanding dan berpidato atas kemampuan diri sendiri tetapi berlawan dengan cara memburukkan lawan yang jelas meminggirkan Rukun Negara kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau yang merupakan calon Bebas kerusi Parlimen Puchong bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu berkata, jika individu mengikut prinsip Rukun Negara yang pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, gejala rasuah juga tidak akan berlaku.
Menurutnya, beliau turut sedih dan kesal apabila prinsip kedua Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara seolah-olah diketepikan menyebabkan ada yang bertindak mencuri wang negara.
“Keluhuran Perlembagaan juga tercemar apabila memilih kroni mentadbir agensi berkuasa apabila diberi kuasa malah Kedaulatan Undang-undang turut dilupakan.
“Sebab itu saya katakan, ubat yang paling mujarab untuk rakyat Malaysia dan ahli politik adalah berbalik kepada Rukun Negara. Dengan hanya menghafalnya tidak akan menjadikan Malaysia lebih baik,” katanya.
Beliau sebelum itu berkata, pembentukan sahsiah diri yang baik termasuk pencegahan rasuah perlu dimulakan sejak dari kecil.
“Memang pendidikan itu penting di sekolah tetapi memupuk nilai-nilai yang baik juga penting.
“Saya harap dalam tempoh 30 tahun akan datang kita akan melihat Malaysia yang lebih baik malah sampah pun tidak ada di jalan raya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!