PRU15: Polis tingkatkan penguatkuasaan jamin kelancaran trafik
ISKANDAR PUTERI - Polis Daerah Iskandar Puteri akan meningkatkan penguatkuasaan terutamanya dari segi pertambahan bilangan anggota trafik bagi memastikan kelancaran aliran trafik pada hari mengundi Sabtu ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Assisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, peningkatan penguatkuasaan itu dibuat susulan pergerakan trafik yang dijangka bertambah di sekitar daerah berkenaan pada Sabtu susulan pengumuman cuti oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
“Kita mengambil kira penggerakan aliran trafik yang sememangnya akan bertambah memandangkan pengumuman cuti oleh Perdana Menteri...tambahan pula cuti sekolah di Singapura bermula pada 19 November.
“Bagaimanapun, kita sentiasa memastikan anggota kita bersiap sedia untuk digerakkan ke lokasi-lokasi yang mungkin akan berlaku kesesakan.
“Tumpuan kita bagi lokasi (dijangka berlaku kesesakan) adalah di 2nd Link (Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA),” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Kesesakan lalulintas trafik dijangka berlaku setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Jumaat dan Sabtu (18 dan 19 November) ini sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi pada PRU15.
Bagi negeri yang menjadikan Jumaat dan Sabtu sebagai hari kelepasan mingguan, 20 November ditetapkan sebagai hari kelepasan tambahan.
Justeru Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut berkenan menggantikan hari kelepasan am untuk mengundi bagi PRU15 Jumaat ini kepada Ahad.
Sementara itu, Rahmat berkata, pihak polis akan mengambil tindakan saman terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan sehingga mengakibatkan kesesakan trafik.
Beliau berkata, tindakan saman berkenaan adalah sama seperti yang telah dilaksanakan pada Ops Potong Q di KM12.5J Lebuhraya Ling Kedua baru-baru ini.
“Kita akan tingkatkan penguatkuasaan dari segi pertambahan bilangan anggota trafik untuk melancarkan aliran trafik khususnya di sekitar daerah ini pada hari mengundi.
“Pada masa sama, kita juga akan mengambil tindakan saman kepada mana-mana pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan sehingga mengakibatkan kesesakan trafik,” jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!