PRU15: Wajib pilih pemimpin boleh jaga maqasid syariah
KUALA TERENGGANU - Umat Islam wajib memilih pemimpin yang boleh menjaga lima asas agama atau maqasid syariah dalam tadbir urus negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Pusat Pengajian Syariah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Ahmad Faizol Ismail berkata, para ulama sepakat bahawa memilih pemimpin yang boleh menjaga kemaslahatan umat Islam adalah kewajipan bagi setiap individu.
Jelas beliau, lima pembahagian maqasid syariah melibatkan menjaga agama (Islam), menjaga nyawa, menjaga keturunan dan maruah, menjaga akal dan menjaga harta.
"Umat Islam wajib memastikan kerajaan yang akan memerintah atau pemimpin yang akan dipilih boleh menjaga kelima-lima perkara ini.
"Ini yang diajar oleh Islam. Kalaulah kata kita tidak mengambil tanggungjawab mengundi, dikhuatiri pemimpin yang dipilih itu nanti tidak tahu untuk menjaga lima asas dalam maqasid syariah ini.
"Jika itu yang berlaku, kita selaku umat Islam perlu bertanggungjawab dengan erti kata lain menanggung dosa. Sebab itulah mengundi itu fardu ain ataupun wajib kepada kita secara individu," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Ahmad Faizol memberitahu, menurut pandangan Islam, keluar mengundi bagi memilih pemimpin adalah kewajipan kerana ia (mengundi) merupakan instrumen atau alat untuk memilih pemimpin.
Katanya, instrumen itu digunakan dalam sistem demokrasi moden untuk memilih pemimpin-pemimpin yang akan mewakili rakyat untuk mengurus negara.
"Menurut Imam al-Mawardi di dalam kitab Al-Ahkam As-Sultaniyyah, memilih pemimpin adalah kewajipan secara ijmak.
"Berdasarkan kaedah Fiqah yang bermaksud, jika satu kewajipan itu tidak sempurna melainkan dengan adanya satu perkara yang lain ataupun dengan satu alat, maka alat atau perkara lain itu juga wajib.
"Dalam konteks ini, mengundi merupakan instrumen untuk memilih pemimpin. Sekiranya mengundi itu boleh membantu umat Islam melaksanakan kewajipan mereka memilih pemimpin, maka hukum keluar mengundi adalah wajib," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!