PRU15: Dua individu ditahan, 28 kertas siasatan dibuka

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua individu ditahan manakala sebanyak 28 kertas siasatan dibuka berhubung kesalahan semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di seluruh negara pada Khamis.

Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, seorang wanita ditahan sepasukan anggota yang sedang membuat pemantauan di sekitar Kota Setar, Alor Setar di Kedah kerana mencabut bendera parti.

"Pada 17 November lebih kurang jam 5 petang pengadu yang sedang mengetuai pasukan Cantas1, Cantas2, dan Cantas3 di Kota Setar ternampak seorang perempuan tempatan mencabut bendera parti politik di Jambatan Jalan Tun Razak, Alor Setar.

"Pengadu membuat pemeriksaan terhadap tubuh badan suspek dan tidak menjumpai apa-apa barang yang salah. Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Hazani berkata, tangkapan kedua membabitkan satu kes yang disiasat di Selangor di mana kertas siasatan telah dibuka pada Selasa.

Beliau berkata, daripada 28 kertas siasatan yang dibuka pada Khamis, Kedah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu lima, Pahang(empat), Johor (empat), Selangor (tiga), Sabah (tiga), Kelantan (dua), Kuala Lumpur (dua), dan masing-masing satu di Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu,Sarawak.

"Siasatan dijalankan atas pelbagai kesalahan antaranya di bawah Seksyen 4(A)(1) Akta Pilihan Raya (APR) 1954, Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998, dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, antara kejadian kerap dilaporkan termasuk kes mencabut bendera parti, merosakkan sepanduk atau poster, dan kenyataan yang didakwa fitnah di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 1,907 permit ceramah dikeluarkan dan hasil pemantauan mendapati tiada ceramah tanpa permit dianjurkan mana-mana parti bertanding.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!