Penduduk buat persediaan awal hadapi banjir
TEMERLOH - Dalam kehangatan kempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), penduduk di Kampung Batu Kapor di sini sudah sibuk membuat persediaan berdepan banjir.
Ini berikutan kegusaran mereka selepas Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.
Sebahagian penduduk sudah mula melakukan persediaan termasuk memindahkan barangan utama ke lokasi lain dan selamat.
Difahamkan ada penduduk yang sudah menempah lori atau pacuan empat roda bagi mengangkut barangan utama mereka jika banjir berlaku nanti.
Tindakan itu bagi mengelakkan mengalami kerugian lebih besar selepas mereka terpaksa menanggung dan mengeluarkan kos tinggi akibat kerosakan serta kehilangan banyak harta benda akibat banjir besar pada Januari dan Disember 2021.
Bagi seorang warga emas, Rozila Othman, 60, memberitahu dia telah menghantar beberapa barangan utama seperti pakaian, bantal, pinggan ke rumah anaknya sejak bulan lalu.
Menurutnya, ia antara persediaan awal yang dilakukan kerana gusar berdepan bencana banjir yang sebelum ini telah menyebabkan penduduk di kampung berkenaan mengalami kerugian besar.
"Selepas dua kali rumah ditenggelami banjir hingga ke bumbung, rasa resah lain macam bila hujan mengenangkan pengalaman lalu juga buat saya jadi trauma.
"Selain itu, saya juga pastikan dokumen penting tidak ketinggalan," katanya kepada Sinar Harian.
Seorang tukang jahit, Mazni Mohd Yunus, 51, turut mengambil tindakan sama dengan mengemas barangan utama miliknya ke tempat lebih tinggi dan selamat berikutan kediamannya berdekatan dengan anak sungai.
"Saya dalam keadaan berjaga-jaga dengan melakukan beberapa persediaan termasuk membeli plastik hitam untuk menyimpan barang.
"Dalam hati memang berharap tiada lagi banjir besar seperti tahun lalu berlaku, risau bila fikirkan apa yang berlaku sebelum ini," tambahnya.
Dalam pada itu, seorang lagi warga emas, Raidah Yahaya, 69, memberitahu, dia turut dibantu anak-anaknya yang tinggal berhampiran untuk mengemas barangan di rumahnya kerana gusar dengan risiko banjir yang diramalkan MetMalaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!