PRU15: Umat Islam diingatkan tidak pilih calon ada lima ciri
KANGAR - Khutbah Jumaat di seluruh masjid di Perlis mengingatkan umat Islam supaya tidak tersilap memilih calon yang mempunyai lima ciri menyebabkan negara menjadi tidak stabil dan kucar kacir.
Menurut teks khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Mufti Perlis itu, bagi memastikan negara ini kekal aman, makmur, maju dan stabil maka rakyat perlu memilih mereka yang layak dan berwibawa.
Menurut teks terbabit, pengundi mempunyai hak untuk memilih mereka yang mampu melaksanakan tugas untuk rakyat dengan penuh amanah, jujur dan bertanggungjawab.
“Perlu dipastikan kita tidak memilih mereka yang tidak layak disebabkan lima perkara. Pertama, mereka yang menzahirkan permusuhan dengan Islam. Sikap anti Islam itu boleh dilihat atau di kenal pasti melalui kenyataan atau tindakan yang pernah dibuat sebelum ini.
“Golongan ini tidak akan mewujudkan ketenteraman sebaliknya akan mencetuskan ketegangan dalam masyarakat. Memilih mereka bererti mengkhianati agama dan negara. Kedua, mereka yang pernah melakukan jenayah rasuah atau salah guna kuasa.
“Mereka ini termasuk dalam golongan yang zalim. Memilih mereka bermaksud memberi kuasa kepada orang yang akan membuat zalim dalam negara,” jelas teks khutbah bertajuk ‘Memilih Yang Layak dan Beribawa’ itu pada Jumaat.
Dalam teks terbabit, umat Islam turut diingatkan supaya tidak memilih calon yang menzahirkan sikap zalim dalam pengurusan atau pentadbiran kerana mengutamakan kepentingan diri, keluarga, puak atau bangsa tertentu.
“Mereka yang memiliki sikap ini juga termasuk dalam golongan zalim. Begitu juga mereka yang bersikap perkauman, berpuak-puak dan taksub kepada sesuatu aliran sehingga cenderung berlaku tidak adil dan zalim ke atas pihak lain.
“Jangan juga memilih mereka yang mempunyai rekod perkhidmatan buruk. Ini seperti mereka yang selalu ponteng ketika Parlimen bersidang, tidak mempedulikan tugasan yang diamanahkan kepadanya, gagal menyampaikan hasrat rakyat di kawasannya, sukar mendapatkan khidmatnya dan sombong.
“Jika pertama kali mungkin suatu kesilapan kerana tidak mengenali calon berkenaan tetapi jika kita mengetahui perkhidmatanya bermasalah, maka kita tidak boleh tertipu untuk kali kedua,” ujar teks khutbah terbabit.
Jelas teks khutbah itu lagi, umat Islam juga diingatkan supaya tidak memilih calon yang suka berbohong dengan menggunakan nas-nas agama, menipu dalam perniagaan, menipu sijil dan sebagainya.
“Nabi Muhammad SAW menyebut bahawa pembohongan akan membawa kepada kejahatan. Kejahatan akan membawa ke neraka. Melantik pemimpin yang suka berbohong hanya akan merosakkan negara.
“Jika mereka yang ada pada sesuatu tempat itu, semuanya termasuk dalam ciri di atas maka hendaklah mengkaji kadar bahaya mereka dan pilih yang paling kurang mudarat selepas membuat perbandingan,” jelas teks khutbah itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!