PRU15: Mangsa banjir mahu jadi kumpulan pertama celup jari
PARIT - Lebih 40 mangsa banjir bertekad menjadi antara kumpulan awal yang akan membuang undi berikutan pusat berkenaan bertindih dengan pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Layang-Layang Kiri di sini.
Penduduk, Shafie Hashim, 72, berkata, sepanjang lapan kali menjadi pemilih, ini merupakan pengalaman pertama mengundi dalam keadaan banjir.
"Insya-ALLAH saya mahu menjadi orang pertama yang melaksanakan tanggungjawab ini tambahan pusat mengundi bersebelahan bangunan ini sahaja.
"Saya perlu pergi awal kerana selepas itu saya akan jenguk keadaan rumah yang masih ditenggelami air. Hendak pergi kena naik bot kerana air tidak surut lagi sejak Selasa lalu," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Menurutnya, lima anaknya yang merantau turut pulang bagi membuang undi bersama-samanya.
Bagi peniaga, Sopiah Salleh, 57, kemeriahan hari mengundi kurang dirasai apabila penduduk risau keadaan rumah di Kampung Parit 6, Layang-Layang Kiri yang masih dinaiki air.
"Ketika mengundi PRU14 lalu, kami seronok beramai-ramai menaiki kenderaan yang disediakan ke pusat mengundi.
"Kali ini tidak begitu meriah memikirkan barang niaga dan kelengkapan elektrik musnah. Air banjir tidak surut sejak Selasa lalu.
"Dalam kejadian itu, saya selamatkan dokumen dan yang penting MyKad untuk dibawa ketika mengundi esok," katanya.
Peniaga, Syafiqah Othman, 30, berkata, pengalaman mengundi buat pertama kali menyebabkan dia berasa gemuruh.
"Saya terkilan pada PRU14 lepas tidak mengundi selepas lewat mendaftar. Kali ini apabila sudah automatik, saya akhirnya boleh mengundi bersama ahli keluarga lain.
"Saya belajar sedikit peraturan dan apa yang perlu dilakukan apabila tiba di tempat mengundi kerana bimbang undi rosak. Sudah tentu saya mahu mengundi awal kerana saya menjadi sukarelawan di PPS ini," katanya.
Mangsa banjir di PPS SMK Layang-Layang Kiri akan mengundi bagi kerusi Parlimen Parit dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja.
Parlimen Parit menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon BN, Datuk Mohd Nizar Zakaria; Muhammad Ismi Mat Taib (Perikatan Nasional), Nurthaqaffah Nordin (Pakatan Harapan) dan Faizol Fadzli Mohamed (Pejuang).
Situasi sama turut berlaku di DUN Belanja melibatkan calon BN, Khairuddin Abu Hanipah; Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin (PN), Hishammuddin Abdullah (PH) dan Shahruzzaman Bistamam (GTA-Berjasa).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!