Poster palsu Shahidan tersebar

Mohd Faizal (dua dari kanan) bersama barisan peguam Shahidan membuat laporan polis di Balai Polis Arau pada Jumaat berhubung penyebaran poster palsu calon Perikatan Nasional bagi Parlimen Arau itu.
Mohd Faizal (dua dari kanan) bersama barisan peguam Shahidan membuat laporan polis di Balai Polis Arau pada Jumaat berhubung penyebaran poster palsu calon Perikatan Nasional bagi Parlimen Arau itu.
A
A
A

ARAU - Hari terakhir kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dicemari penularan poster kempen palsu membabitkan calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang digambarkan sebagai calon BN.

Wakil pilihan raya kepada Shahidan, Mohd Faizal Mohd Arif berkata, pihaknya hanya menyedari penyebaran poster mengelirukan itu selepas dikongsikan dalam kumpulan sembang WhatsApp pada pagi Jumaat.

"Saya sifatkan ini sebagai tindakan tidak bertanggungjawab kerana mengelirukan pengundi terutama warga emas dan pemilih baru esok (Sabtu).

"Setakat ini kami mengesan terdapat tiga kedai yang menjadi lokasi penyebaran risalah itu.

"Sehubungan itu, hari ini (Jumaat) saya telah membuat satu laporan polis berhubung perkara ini," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Mohd Faizal memberitahu, laporan polis itu dibuat kerana bimbang ada pihak yang sengaja mengambil kesempatan mengelirukan pengundi memandangkan Shahidan pernah mewakili BN sebelum ini.

"Saya tak tuduh BN yang buat (sebar poster itu) sebab saya pun tidak tahu siapa dalang di sebalik perkara ini.

"Penyebaran poster palsu ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada kami, namun tidak menjejaskan usaha PN untuk memastikan Shahidan menang di kerusi Parlimen Arau," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!