PRU15: Prasarana beri tambang percuma hari mengundi esok
Prasarana dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan tambang percuma itu meliputi perkhidmatan Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Monorel, Transit Aliran Bas (BRT) atau bas henti-henti.
"Ini adalah langkah Prasarana sebagai sebuah syarikat Malaysia memudahkan rakyat keluar mengundi demi menjalankan tanggungjawab dan hak mereka," menurut kenyataan itu.
Prasarana memaklumkan pengguna My50 boleh menggunakan pas seperti biasa manakala pengguna kad Touch ‘n Go boleh menggunakan kad tanpa sebarang caj.
Sementara itu, pengguna token pula perlu ke mana-mana Pejabat Khidmat Pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT untuk mendapatkan token khas perjalanan sehala.
Bagi perkhidmatan Rapid Bus di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuantan termasuk bas perantara MRT, Prasarana memaklumkan pengguna tidak perlu menyentuh kad di mesin pengimbas apabila menaiki atau turun daripada bas.
Menurut Prasarana tambang percuma itu bagi memudahkan rakyat Malaysia keluar mengundi dengan mudah, tenang dan selamat.
Untuk maklumat lanjut, rujuk laman media sosial Prasarana serta laman web https://myrapid.com.my. Para pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi PULSE di Google Play dan App Store untuk maklumat terkini serta bagi merancang perjalanan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!