PRU15: Kerusi panas, kelabu tunggu ayunan undi saat akhir
SHAH ALAM - Keputusan bagi kebanyakan kerusi panas dan kelabu terutamanya yang melibatkan calon ‘heavyweight’ serta popular di kawasan mencabar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini sukar diramal.
Firma penyelidikan bebas, Ilham Centre melalui kajian Pola Sokongan Pengundi dan Prediksi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mendapati, kedudukan kerusi tersebut memperlihatkan pengundi atas pagar berada di dalam peratusan yang tinggi.
Pada masa sama, mereka menyatakan keputusan akhir mungkin diputuskan hingga saat-saat akhir pengundian.
“Ini menjadikan kerusi-kerusi tersebut sukar untuk dilakukan ramalan tepat kerana saingan sengit (neck to neck) dan ayunan saat akhir yang sukar dijangka. Mana-mana pihak yang memperoleh undi ayunan akhir akan muncul pemenang.
“Keputusan tersebut akan menimbulkan ‘upset’ kepada jangkaan awal sama ada buat calon pilihan ataupun parti-parti tertentu,” menurut laporan kajian itu yang dikeluarkan pada Jumaat.
Antara kerusi-kerusi sengit dan kelabu adalah Kangar, Arau, Pokok Sena, Kulim Bandar Baharu, Ketereh, Bukit Gantang, Sungai Buloh, Temerloh, Sungai Besar, Kuala Selangor, Tampin, Ayer Hitam, Kudat, Putatan, Penampang, Sipitang, Kinabatangan, Tawau, Kalabakan, Sri Aman, Lubok Antu, Igan, Sarikei, Miri, Kimanis dan Lawas.
Cerapan dan observasi kajian akhir Pola Sokongan Pengundi dan Prediksi PRU15 ini dilaksanakan selama tiga minggu bermula 30 Oktober sehingga 17 November lalu, melibatkan kaji selidik secara tatap muka dengan 1,211 responden dan perbincangan kumpulan sasar (150 responden) di seluruh negara.
Berdasarkan dapatan kajian itu juga, strategi BN menukar calon-calon besar mencetuskan tindak balas yang sukar dikawal sehingga laporan ini ditulis.
Ia mengakibatkan kecelaruan dan runtuhnya semangat juang jentera yang dikuasai oleh ‘warlord’ yang tidak dicalonkan.
“Tindakan Pengerusi BN yang membelakangi dan tidak menyantuni oligarki serta proses ‘housekeeping’ parti tidak berjalan dengan baik.
"Akibatnya sama ada penggerak parti menzahirkan protes tidak keluar mengundi ataupun menghalakan undi kepada parti lawan.
“Kerusi seperti Parlimen Ketereh, Maran, Tanjong Karang, Jelebu, Tenggara dan Kota Tinggi antara yang dikenal pasti berpotensi untuk berlaku sabotaj dalaman parti kepada calon baharu,” jelasnya.
Kajian yang dibuat juga mendapati senario Sabah agak unik walaupun nampak kesepakatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN membelah kawasan secara saksama untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri ternyata mengundang reaksi pengundi yang berbeza.
Bagi kawasan yang tradisinya ditandingi oleh BN tetapi diserahkan kepada GRS menyebabkan pengundi tegar mereka sukar untuk mengundi GRS.
“Sebaliknya juga berlaku di kerusi GRS yang diserahkan kepada BN. Kerusi Parlimen Kudat, Sipitang dan paling kritikal pertembungan antara PBRS (BN) dan GRS di kerusi Ranau manakala BN serta PN di kerusi Beluran.
“Rata-rata responden yang kami temui di lapangan kajian menyatakan pertembungan tersebut akan menguntungkan parti Warisan sekiranya berlaku sabotaj dan undi protes,” menurut laporan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!