'Pesawat' PN curi tumpuan 10,000 orang luar balik mengundi
SIK - Lebih kurang 10,000 pengunjung hadir untuk melihat secara dekat replika sebuah kapal terbang di Kampung Batu Besar sejak pagi Jumaat.
Ketua kru, Mat Piah Hat berkata, keadaan itu menyebabkan laluan masuk ke kampung berkenaan sesak sejak kira-kira jam 3 petang berikutan ramai pengunjung mahu singgah dan bergambar bersama replika berkenaan.
Menurutnya, petugas terpaksa mengawal lalu lintas yang sesak sepanjang kira-kira lapan kilometer akibat dipenuhi kenderaan terutama dari luar daerah itu.
"Kesesakan sepanjang kira-kira lapan kilometer dari pukul 3 sampai sekarang (7 petang) sebab mereka mungkin nak singgah untuk tengok replika dari dekat," katanya.
Menurut Mat Piah, berkemungkinan besar pengunjung-pengunjung tersebut dalam perjalanan pulang ke kampung untuk mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun singgah ke kawasan itu disebabkan menggunakan laluan berdekatan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sekumpulan penyokong Pas Kampung Batu Besar mencuri tumpuan dengan ciptaan replika pesawat Boeing bagi menyatakan sokongan terhadap parti itu.
Replika itu diubah suai setiap kali PRU dan kali ini, sebuah 'pesawat' bertemakan Perikatan Nasional (PN) disiapkan bagi kempen PRU15.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!