Balik mengundi, enam beranak cemas MPV dirempuh bas

Mohd Redza Fahlawi melihat bahagian belakang kenderaannya yang turut mengalami kerosakan teruk dalam kemalangan di Kilometer 189.6 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan), Jasin pada Jumaat. (Gambar kecil: Mohd Redza (kiri) dan Salmiah)
Mohd Redza Fahlawi melihat bahagian belakang kenderaannya yang turut mengalami kerosakan teruk dalam kemalangan di Kilometer 189.6 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan), Jasin pada Jumaat. (Gambar kecil: Mohd Redza (kiri) dan Salmiah)
A
A
A

JASIN - [DIKEMAS KINI] Sepasang suami isteri serta empat orang anak dalam perjalanan pulang ke kampung untuk mengundi berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka dirempuh sebuah bas ekspres dalam insiden membabitkan lima kenderaan di Kilometer 189.6 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) di sini pada Jumaat.

Kejadian yang berlaku lebih kurang jam 12 tengah hari itu bagaimanapun tiada melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Mangsa yang juga pegawai kerajaan, Mohd Redza Fahlawi Mohd Abdullah, 48, berkata, dia bersama isterinya, Salmiah Pungut, 47, serta empat orang mereka yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream dalam perjalanan pulang ke kampung di Parit Raja, Muar Johor untuk mengundi pada Sabtu.

Mohd Redza berkata, mereka bertolak dari rumah di Puchong, Selangor kira-kira jam 9.30 pagi sebelum kenderaan mereka secara tiba-tiba dirempuh sebuah bas ekspres yang hilang kawalan dari arah belakang di lokasi kejadian.

"Walaupun kemalangan itu menyebabkan kenderaan saya mengalami kerosakan teruk, namun bersyukur kami sekeluarga terselamat," katanya.

Isterinya, Salmiah yang juga kakitangan kerajaan berkata, selepas kejadian itu tangannya menggigil kerana terkejut dengan insiden yang menimpa mereka sekeluarga.

"Cuma anak bongsu saya berusia lima tahun ketika kejadian dia sedang tidur, jadi bila kejadian berlaku dia terkejut dan menangis.

"Walaupun diuji ketika pulang ke kampung untuk mengundi, namun insya-ALLAH saya dan suami akan pergi mengundi esok," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah bas ekspres hilang kawalan lalu melanggar Honda Stream yang dinaiki mangsa sekeluarga.

Menurutnya, dalam masa sama sebuah bas lain merempuh sebuah Toyota Vios dan kenderaan itu terbabas lalu melanggar bahagian tepi sebuah bas ekspres yang berhenti di lorong kecemasan.

"Kes disiasat oleh Unit Siasatan Lebuhraya (USLR) Selatan 1,” katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan kemalangan yang berlaku di Kilometer 189.6 Lebuh Raya Utara-Selatan telah menyebabkan kesesakan trafik sejauh 14 kilometer arah selatan lebuh raya.

Plustrafik di laman Twitter melaporkan pada jam 12.01 tengah hari, kemalangan itu menyebabkan semua lorong terhalang dan kesesakan berlaku dari arah Ayer Keroh ke Jasin.

"Kemalangan di Kilometer 189.6 arah selatan dari Ayer Keroh ke Jasin, semua lorong terhalang. Trafik tidak bergerak," demikian menurut laporan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!