PRU15: Tidak perlu bimbang keluar mengundi- KPN
KUALA LUMPUR - Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang mengganggu kelancaran pembuangan undi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di seluruh negara pada Sabtu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, seramai 80,000 anggota akan terlibat secara langsung dan semua elemen keselamatan digerakkan bagi menjamin keselamatan awam semasa tempoh pembuangan undi dan pasca PRU15.
"Orang ramai tidak perlu bimbang untuk keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
"Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang cuba mengancam ketenteraman awam yang boleh menjejaskan perjalanan proses pembuangan undi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, beliau berkata, PDRM akan melaksanakan Op Lancar di lokasi strategik di seluruh negara bagi mengawal kesesakan trafik.
Pada masa sama, orang ramai diingatkan supaya tidak mengadakan sebaran perhimpunan atau perarakan di tempat terbuka selepas PRU15 berakhir.
"PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingkar demi memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat," tegas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!