PRU15: Rafidah hadir pentas ceramah PH walau sukar bernafas
![Rafidah Aziz muncul di pentas Grand Finale Parlimen Segambut di Taman Rimba Kiara malam Jumaat bersama beberapa pemimpin dan aktivis pro-PH.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/11/18/1990484.jpg)
KUALA LUMPUR – Pada pecutan terakhir kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Pakatan Harapan (PH) telah menampilkan kemunculan seorang pemimpin yang pernah digelar sebagai ‘wanita besi’.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz muncul di pentas Grand Finale Parlimen Segambut di Taman Rimba Kiara malam ini bersama beberapa pemimpin dan aktivis pro-PH.
Pada ceramah tersebut, Rafidah memberitahu, beliau sudah lebih sebulan sukar bernafas kerana masih belum sembuh daripada Covid-19 berpanjangan (long Covid).
"Kaki saya dan badan-badan juga sakit. Saya terpaksa makan ubat 'painkiller'. Saya harap tidak pengsan di atas pentas ini.
"Selain itu saya cuma datang ke ceramah Hannah Yeoh. Beliau seorang pemimpin muda yang hebat," katanya pada ceramah Grand Finale PH yang turut dihadiri kira-kira 1,500 penyokong PH pada malam Jumaat.
Rafidah yang berpengalaman dan dihormati pegawai kerajaan, barisan diplomat serta rakan sejawatan dari luar negara turut mengingatkan rakyat supaya keluar mengundi beramai-ramai pada PRU15 esok.
Katanya, PRU adalah proses penting bagi memastikan barisan pemimpin yang dipilih dapat memberi khidmat yang terbaik untuk rakyat.
"Jangan pilih calon yang terbukti teruk. Mereka bukan mahu berkhidmat pada rakyat tetapi mahu berkhidmat pada diri sendiri.
"Buang ahli politik toksik dalam semua kerusi Parlimen. Potong mereka supaya mereka tidak boleh jadi sebahagian dari kerajaan.
"Jangan mengeluh jika salah pilih. Orang kata saya dah bersara dan tidak perlu campur lagi dah, saya kata tidak boleh kerana ini adalah masa depan negara. Saya tidak akan putus asa," katanya.
Antara pemimpin PH dan aktivis yang hadir pada ceramah Grand Finale ini adalah calon Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, Gobind Singh Deo (Damansara), Datuk Hans Isaac, Datuk S Ambiga dan Haris Ibrahim.
Parlimen P117 Segambut menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Hannah dari PH, V Prabagaran (Perikatan Nasional) dan Datuk Daniel Ling Sia Chin (BN).
Pada PRU14, Hannah memenangi kerusi Parlimen Segambut dengan majoriti 45,702 pengundi. Dua pencabarnya ketika itu daripada BN dan Pas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!