Malaysia Berdoa mohon pertolongan ALLAH pilih pemimpin tepat

Fazrul (tengah) membacakan doa dalam program Malaysia Berdoa pada Jumaat.
Fazrul (tengah) membacakan doa dalam program Malaysia Berdoa pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Doa memohon panduan daripada ALLAH SWT merupakan pegangan utama untuk setiap pengundi dalam memilih pemimpin tepat pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, memohon panduan daripada ALLAH menjadi perkara paling penting dalam usaha memastikan calon dan parti yang dipangkah mampu membawa negara ke arah yang lebih baik.

"Seruan daripada ALLAH untuk kita sebagai umat Nabi Muhammad iaitu bertakwalah, satu perkara penting yang melatari langkah kita ke peti undi.

"Sebagai seorang yang bertakwa, kita bertanggungjawab memilih pemimpin yang terbaik. Sebagai seorang yang bertakwa juga, kitalah pemimpin yang terbaik dalam meneruskan kehidupan.

"Oleh itu, kita mengharapkan ALLAH terus membantu selain mengharapkan tuhan mencerahkan kita dengan ilmu dan hikmah untuk memilih.

"Kita juga harapkan tuhan terus membina rasa tanggungjawab untuk memilih yang terbaik," katanya dalam program Malaysia Berdoa yang dibawakan secara langsung di platform digital Sinar Harian, QuranHour dan Rasuah Busters pada Jumaat.

Program tersebut sebagai solusi spiritual mengembalikan semua urusan bagi pemilihan pemimpin negara ini kepada ALLAH SWT pada malam terakhir sebelum hari pembuangan undi PRU15.

Malaysia Berdoa turut menampilkan pentadabbur hadis, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi dan Qari Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M, Ustaz Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan yang mentadabur Surah Al-Ahzab dan Surah Ghafir.

Artikel Berkaitan:

Fazrul berkata, surah Al-Ahzab ayat pertama hingga ketiga itu menerangkan dengan jelas tentang keperluan untuk tidak taat kepada orang kafir dan munafik.

"Perlu kita fahami, orang yang kafir ini adalah orang yang sudah diseru kepada keimanan, tetapi mereka menentang. Mereka menentang agama, mereka membuat kerosakan agama. Maka, inilah orang kafir.

"Bukan sekadar namanya adalah John, Muthu atau Ah Chong, maka kita katakan mereka kafir.

"ALLAH juga menyatakan jangan taat kepada orang munafik kerana mereka adalah orang yang amat bahaya dalam memimpin," ujarnya.

Justeru, beliau berkata, ia menjadi panduan penting dalam menuju hari pengundian dan pastikan tidak memberikan ruang kepada mereka yang menentang agama, orang kafir dan orang yang merosakkan agama dalam kalangan orang Islam.

"Tetapi, kita mesti pilih mereka yang boleh membantu rakyat, membantu kita makin taat dan bertakwa kepada ALLAH," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!