PRU15: Permohonan undi pos Padang Serai dibuka mulai hari ini
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, permohonan undi pos bagi Kategori 1A iaitu petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media, perlu memohon secara manual menggunakan Borang 1A.
"Borang 1A boleh dimuat turun daripada portal rasmi SPR di https://www.spr.gov.my dan dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus P.017 Padang Serai,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Bagi Kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan kategori 1C yang terdiri daripada agensi atau organisasi, permohonan perlu dikemukakan secara dalam talian melalui portal https://myspr.spr.gov.my/login, katanya.
Sebarang pertanyaan atau penjelasan lebih lanjut boleh hubungi Unit Pengurusan Undi Pos di talian 03-8892 7040.
Terdahulu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, Pilihan Raya bagi Parlimen Padang Serai, Kedah, tidak akan diadakan bersekali dengan PRU15 pada Sabtu, sebaliknya ditetapkan pada 7 Disember depan dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 24 November, manakala hari mengundi awal pada 3 Disember ini.
Abdul Ghani berkata, SPR menerima Writ Pilihan Raya yang dikembalikan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Padang Serai pada Rabu, berhubung kematian calon Pakatan Harapan (PH) M. Karupaiya pada hari sama.
Karupaiya, 69, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Padang Serai dimasukkan ke Hospital Kulim pada Isnin lalu selepas rebah ketika berkempen akibat serangan jantung dan meninggal dunia pada 2.27 petang Rabu lepas.
Karupaiya sepatutnya menghadapi saingan enam penjuru menentang lima lagi calon iaitu Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk C. Sivaraajh (BN), Mohd Bakhri Hashim (Warisan), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional) dan calon Bebas Sreanandha Rao pada PRU15.
Pada PRU14, Karupaiya menang kerusi Parlimen itu dengan majoriti 8,813 undi menewaskan calon Pas, Muhamad Sobri Osman dan calon BN, Datuk Dr Leong Yong Kong. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!