PRU15: Hanya tangguh proses undi kerusi DUN Tioman

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Proses pengundian bagi Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman ditangguhkan selepas calon Perikatan Nasional (PN), Md Yunus Ramli meninggal dunia awal pagi Sabtu.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rompin, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek berkata, penangguhan ini hanya melibatkan kerusi DUN berkenaan sahaja manakala pemilihan bagi kawasan Parlimen Rompin akan dilakukan seperti biasa.

"Oleh yang demikian, pengeluaran kertas undi bagi DUN Tioman adalah ditangguhkan.

"Maklumat lanjut akan dikeluarkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Md Yunus, 61, dilaporkan meninggal dunia pada jam 3.30 pagi Sabtu di Hospital Rompin akibat komplikasi jantung.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar ketika dihubungi.

Menurutnya, Allahyarham dilaporkan mengadu sakit dada dan dibawa ke Hospital Rompin oleh anaknya untuk menerima rawatan.

Sebelum ini, allahyarham juga dilaporkan menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan mengalami masalah jantung.

Artikel Berkaitan:

Pada Oktober tahun lalu, Allahyarham pernah dirawat di Hospital sama kerana mengalami serangan jantung.

Md Yunus dijadualkan memberi saingan kepada empat lagi calon yang bertanding di kerusi itu iaitu calon bebas, Sulaiman Bakar, Osman Bakar (Perjuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan penyandang kerusi terbabit, Datuk Seri Mohd Johari dari BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)

Selain menjadi calon PN, Allahyarham juga turut menyandang Jawatan-jawatan kanan seperti Pengarah Khidmat Malaysia Rompin, dan pernah menyandang jawatan Naib Yang Dipertua Kawasan Rompin.

Pada 5 November lalu, calon daripada Pakatan Harapan di Parlimen Padang Serai, M. Karupaiya juga meninggal dunia selepas selesai proses penamaan calon kerana mengalami pendarahan pada bahagian perut.

Semalam, SPR menetapkan pengundian PRU15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai, ditunda ke 7 Disember.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, dipetik berkata, hari penamaan calon bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditetapkan pada 24 November ini, manakala hari mengundi awal pula 3 Disember.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!