Kejutan Mesir ke atas Belgium
BELUM pun bermula Piala Dunia, pasukan pilihan, Belgium dikejutkan dengan kekalahan kepada Mesir 1-2 pada aksi persahabatan pada Jumaat.
Status sebagai pasukan di ranking kedua dunia tidak mengerunkan Mostafa Mohamed dan Mahmoud Trezeguet untuk meledak dua jaringan buat Mesir.
Kesilapan Kevin De Bruyne dan hantaran menarik Mohamed Salah menghasilkan gol buat Mesir yang terlepas kelayakan ke Piala Dunia pada Mac lalu.
Mostafa menyumbat gol pertama Mesir pada minit ke-33 selepas De Bruyne gagal mengawal bola dengan baik di hadapan kotak penalti.
Sebaik babak kedua bersambung, Salah menjadi duri dalam daging buat Belgium.
Pertahanan Belgium terperangkap dengan hantaran menarik pemain Liverpool itu dan Mahmoud menyempurnakan gerakan itu untuk meledak gol kedua buat Mesir.
Pada aksi itu, Belgium bernasib baik apabila memperoleh gol saguhati menerusi jaringan Lois Openda 14 minit sebelum wisel penamat.
Bagaimanapun ia belum cukup untuk menyekat kemenangan Mesir dalam perlawanan itu.
Kekalahan itu memberi tamparan hebat buat Belgium yang merupakan semi finalis Piala Dunia empat tahun lalu.
Belgium akan memulakan kempen Piala Dunia menentang Kanada dalam aksi Kumpulan F pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!