PRU15: Abdul Hadi selesai mengundi
MARANG - Calon Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila di sini, kira-kira jam 9 pagi pada Sabtu.
Beliau yang juga Presiden Pas ditemani isterinya, Toh Puan Seri Zainab Awang Ngah serta anaknya, Dr Muhammad Khalil yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk.
Abdul Hadi sebelum itu tiba di pusat pengundian berkenaan jam 8.50 pagi selesai membuang undi kira-kira 10 minit kemudian.
Ketika hadir, beliau sempat beramah mesra dengan orang ramai serta penyokong yang berada di luar SK Rusila serta pengundi yang sedang menunggu giliran untuk membuang undi.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Abdul Hadi dicabar calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman, calon Pakatan Harapan (PH), Azhar Abdul Shukur serta calon Gerakan Tanah Air - Parti Pejuang Tanah Air (GTA-Pejuang), Dr Zarawi Sulong.
Sementara itu, hasil tinjauan mendapati kira-kira 50 pengundi mula tiba dan beratur di hadapan pintu masuk pusat pembuangan undi SK Rusila pada seawal jam 7.30 pagi.
Kebanyakan pengundi dilihat mengambil kesempatan keluar mengundi awal selepas keadaan hujan telah reda dan cuaca kembali cerah pagi Sabtu.
Sebanyak tujuh saluran dibuka di pusat pengundian itu bagi melancarkan proses pembuangan undi oleh kira-kira 4,000 pengundi berdaftar di pusat berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!