PRU15: Tiga beradik 'menggigil' kali pertama buang undi

Empat beradik dari kiri K. Salini Devi, 29;
K. Ganesh Kumar, 20; K. Divya Karasi, 21;
dan K. Sundara Darshini, 28 ditemui di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Empat beradik dari kiri K. Salini Devi, 29; K. Ganesh Kumar, 20; K. Divya Karasi, 21; dan K. Sundara Darshini, 28 ditemui di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga beradik yang menjadi pengundi kali pertama mengakui bukan sahaja teruja tetapi gementar ketika melakukan proses pembuangan undi bagi kerusi Parlimen Batu, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pelajar jurusan pengajian media di Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), K. Divya Karasi, 21 berkata, tangannya masih menggigil sebaik sahaja selesai proses membuang undi.

Bagaimanapun menurutnya, keputusan untuk mengundi siapa sudah dimuktamadkan sebelum hadir ke pusat mengundi.

"Saya rasa sangat teruja kerana dapat mengundi kali pertama untuk pilih pemimpin yang boleh bela nasib orang muda seperti kami. Saya sangat takut dan tangan masih menggigil selepas undi.

"Agak terkejut tengok kertas undi begitu panjang kerana ada sepuluh calon. Sebelum datang kami dapat bimbingan tentang cara mengundi daripada ibu bapa dan seorang kakak yang pernah pergi mengundi.

"Mahu undi siapa juga kami sudah tentukan sendiri sejak awal. Jadi proses pengundian berjalan lancar," katanya ditemui di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Jalan Sultan Azlan Shah, di sini pada Sabtu.

Bagi Pelajar IPTS, K. Ganesh Kumar, 20, pengalaman kali pertama menjadi pengundi memberi pendedahan baharu buatnya.

"Ada jutaan pengundi muda yang layak mengundi kali ini jadi harap semua keluar mengundi tanpa rasa segan dan gementar.

Artikel Berkaitan:

"Ini satu pengalaman yang baik mengajar kita mengenai proses mengundi yang merupakan amalan demokrasi negara kita," katanya.

Kedua-dua mereka hadir bersama K. Sundara Darshini, 28 yang juga merupakan pengundi kali pertama dan kakak mereka K. Salini Devi, 29.

Sementara itu Salini berkata, mereka sekeluarga membuat keputusan masing-masing dalam soal menentukan calon yang mahu dipilih.

Katanya, meskipun tiga adiknya menjadi pengundi kali pertama, mereka mengambil inisiatif sendiri dengan membuat penyelidikan berdasarkan laporan-laporan media dalam talian dan juga akhbar.

"Mereka sendiri teliti berita-berita mengenai pencapaian calon, janji-janji mereka untuk pembangunan pengundi Batu kemudian baru buat keputusan.

"Kami tidak berbincang untuk undi siapa sesama ahli keluarga kerana sudah menjadi pendirian kami sekeluarga. Sebab itu hak masing-masing," katanya.

Kerusi Parlimen P115 Batu yang terdiri daripada 113,863 pengundi menyaksikan pertembungan sepuluh penjuru membabitkan calon penyandang, calon yang kembali bertanding dan muka baharu pada PRU15.

Pada PRU14, Parlimen Batu dimenangi oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), P. Prabakaran dengan majoriti 24,438 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!