PRU15: Hujan renyai tak halang pengundi beratur panjang

Antara pengundi yang beratur dalam keadaan hujan renyai sementara menunggu giliran masuk ke pusat mengundi di Dewan Melur, Seksyen 7, di sini, sekitar jam 8 pagi, pada Sabtu.
Antara pengundi yang beratur dalam keadaan hujan renyai sementara menunggu giliran masuk ke pusat mengundi di Dewan Melur, Seksyen 7, di sini, sekitar jam 8 pagi, pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Cuaca hujan renyai yang turun sekitar jam 8 pagi tadi tidak menghalang pengundi untuk kekal beratur sementara menunggu giliran masuk ke pusat mengundi di Dewan Melur, Seksyen 7, di sini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati pengundi, di sini beratur seawal kira-kira jam 7.30 pagi dan menyebabkan barisan sepanjang lebih kurang 50 meter di hadapan dewan berkenaan.

Seorang pengundi, Syafiq Shamshudin, 26, yang tiba pada jam 7.50 pagi berkata, dia pada awalnya tidak menyangka cuaca hujan ketika menuju ke pusat mengundi itu.

"Bila saya mula datang itu ok lagi, tapi bila dah mula beratur itu baru hujan, jadi saya pergi balik kereta ambil payung," katanya yang baharu pertama kali mengundi ketika ditemui Sinar Harian, di sini, pada Sabtu.

Syafiq berkata, dia agak terkejut dengan kehadiran pengundi di situ yang hadir sejak awal pagi dan terdiri daripada pelbagai latar belakang usia termasuk anak muda.

Dalam pada itu, seorang lagi pengundi Ummar Qayyum Ahmad, 38 yang datang seawal jam 7.55 pagi berkata, dia sememangnya telah merancang untuk mengundi awal pada hari ini kerana perlu bekerja pada waktu petang.

"Saya takut terlepas peluang untuk mengundi. Jadi memang siap awal-awal. Kemudian bila sampai di sini lihat orang beratur dalam hujan dengan berpayung, ini juga membuatkan saya lebih bersemangat," ujarnya yang merupakan seorang doktor.

Sementara itu, suri rumah, Sharifah Zahra Omar Al-Shatrie, 42, berkata, dengan mengambil kira keadaan semasa, dia sememangnya menjangkakan kemungkinan berlakunya hujan ketika mengundi.

Artikel Berkaitan:

"Awal pagi tadi pun hujan dah turun lebat, jadi saya memang bersedia secara mental dan fizikal dengan bawa payung kalau-kalau berlaku hujan ketika menunggu untuk mengundi," ujarnya yang hadir bersama anaknya di pusat mengundi itu seawal jam 8 pagi tadi.

Turut menunggu beratur di depan pusat mengundi berkenaan seawal jam 7.45 pagi tadi ialah calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Shah Alam, Azli Yusof yang turut berkongsikan keterujaannya apabila melihat jumlah pengundi yang hadir.

Azli (kiri) bergambar bersama isterinya ketika beratur menunggu giliran untuk masuk ke pusat mengundi di Dewan Melur, Seksyen 7, di sini, pada Sabtu.
Azli (kiri) bergambar bersama isterinya ketika beratur menunggu giliran untuk masuk ke pusat mengundi di Dewan Melur, Seksyen 7, di sini, pada Sabtu.

"Ini petanda baik sebab ramai pengundi yang sudah keluar. Saya harap peratusan keluar mengundi pada hari ini akan tinggi.

"Sangat baik untuk negara kerana masing-masing tunjukkan kesungguhan untuk memilih kepimpinan dan menentukan masa depan negara," ujarnya yang mengambil masa kira-kira sejam untuk selesai membuang undi.

Parlimen Shah Alam yang terdiri daripada 165,744 pemilih berdaftar menyaksikan persaingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain Azli, turut bertanding ialah Calon BN, Hizatul Isham Abdul Jalil; Perikatan Nasional (PN), Dr Afif Bahardin dan Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Pada PRU14, kerusi tersebut dimenangi oleh calon PH, Khalid Abdul Samad dengan majoriti 55,949 undi, menewaskan calon BN dan Pas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!