Pejabat surat khabar Cina dipecah masuk
SUNGAI PETANI - Pejabat surat khabar berbahasa Cina, Kwong Wah Yit Poh Press Berhad di Sungai Petani mengalami kerugian lebih kurang RM1,000 apabila dipecah masuk, malam semalam.
Pengurus cawangannya, Low Pang Ling berkata, pencuri memecahkan kunci pintu pejabat tersebut sebelum masuk dan menggeledah laci meja wartawan.
"Sebaik saya sampai di pejabat pada jam 8.10 pagi hari ini, saya mendapati mangga pintu hadapan tingkat satu telah pecah dan mendapati keadaan dalam pejabat berselerak.
"Laci almari juga turut digeledah dan saya mendapati beberapa barang juga turut hilang," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani.
Antara barangan yang hilang ialah seunit monitor komputer, seunit modem Wifi, duit syiling dan wang tunai.
Pang Ling berkata, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan perkara tersebut.
"Tujuan saya membuat laporan ini juga adalah disebabkan bimbang kejadian yang sama akan berulang pada masa hadapan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!