[VIDEO] PRU15: Tun M selesai undi wakil rakyat Parlimen Kuala Kedah
ANAK BUKIT - Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad hadir di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah di sini pada jam 10.52 pagi untuk melaksanakan tanggungjawab mengundi wakil rakyat bagi Parlimen Kuala Kedah.
Beliau tiba bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali untuk mengundi di saluran satu dengan wajah yang ceria walaupun agak sibuk memenuhi jadual kempen Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) yang padat.
Sebelum tiba di pusat pengundian, calon kerusi Parlimen Langkawi itu terlebih dahulu mengunjungi pusat mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat dan Kuah di Langkawi.
Dr Mahathir, 97, yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) selesai menunaikan tanggungjawab mengundi pada 10.55 pagi.
Selesai mengundi, Dr Mahathir dijadualkan melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kepala Batas dan Kampung Naga sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
Penyandang kerusi Parlimen Langkawi itu menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat bagi kerusi Parlimen Kuala Kedah, yang menyaksikan pertembungan lima penjuru.
Selain penyandang yang juga calon Pakatan Harapan (PH), Dr Azman Ismail, empat lagi calon yang turut merebut kerusi berkenaan ialah, Ulya Aqamah Husamudin (GTA), Datuk Dr Mashitah Ibrahim (BN-UMNO), Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (Perikatan Nasional-Pas) serta Syed Araniri Syed Ahmad (Warisan).
Terdapat seramai 132,500 pemilih berdaftar yang layak mengundi di Parlimen Kuala Kedah dalam PRU15 kali ini.
Pada PRU14, kerusi Parlimen Kuala Kedah dimenangi Dr Azman Ismail dengan majoriti 13,481 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!