Laman web tak boleh diakses, SPR digesa ambil tindakan segera
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa untuk segera menyelesaikan masalah susulan kegagalan orang ramai untuk melayari portal MySPRSemak bagi mengenal pasti lokasi pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, banyak aduan rakyat yang diterima terkait kegagalan untuk mengakses laman web tersebut sejak Jumaat malam.
“Kepincangan ini amat dikesali kerana SPR seharusnya melakukan segala persediaan untuk memastikan segalanya lancar menjelang hari pengundian.
“Justeru, SPR didesak untuk segera memperbetul masalah ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sejak Jumaat, orang ramai meluahkan keluhan di media sosial susulan tidak dapat mengakses laman web SPR bagi menyemak lokasi pengundian.
PRU15 kali ini menyaksikan lebih 20 juta pemilih berdaftar bakal menentukan mandat Malaysia dengan memilih pemimpin yang akan menerajui negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!