PRU15: Mangsa banjir sukar mengundi, tiada pengangkutan

Rosly (kanan) dan isterinya, Rumlah menunjukkan jari mereka yang telah dicelup dakwat kekal ketika ditemui di PPS Dewan Japerun Durian Tunggal pada Sabtu.
Rosly (kanan) dan isterinya, Rumlah menunjukkan jari mereka yang telah dicelup dakwat kekal ketika ditemui di PPS Dewan Japerun Durian Tunggal pada Sabtu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Meskipun resah mengenangkan keadaan rumah semakin dinaiki air, namun sepasang warga emas tetap berusaha keluar mengundi seawal jam 8 pagi di Sekolah Belimbing Dalam, Durian Tunggal pada Sabtu.

Rosly Taib, 63, dan isterinya, Ramlah Kassim, 48, yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal sejak enam hari lalu reda apabila terpaksa pertama kali keluar mengundi dari PPS.

Menurut Rosly, biarpun mendakwa tiada pengangkutan yang disediakan bagi menghantar pengundi di PPS ke pusat mengundi namun dia tetap bersemangat bagi menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Tak tahula kenapa tak disediakan dan tak ada yang tanya kami mahu ke pusat mengundi.

"Jadi pak cik terpaksa memandu sendiri kenderaan lama pak cik ke pusat mengundi, selesai mengundi kami singgah rumah lihat air dah naik paras pinggang," katanya ketika di temui di PPS Dewan Japerun Durian Tunggal di sini pada Sabtu.

Ujarnya, sedih mengenangkan nasib keluarganya yang sehingga sekarang mendakwa belum mendapat pembelaan bagi menyelesaikan masalah banjir di rumah mereka.

Pekerja pembersihan, Siti Khadijah Nordin, 40, yang tinggal di Bukit Balai berkata, majoriti mangsa yang ditempatkan di PPS itu mengalami kesulitan untuk keluar mengundi kerana mendakwa tiada bantuan pengangkutan disediakan.

Artikel Berkaitan:

Siti Khadijah
Siti Khadijah

"Dari semalam memang tak ada yang bertanya macam mana kami nak keluar mengundi.

"Macam saya mengundi di tempat lain, suami pula di pusat lain jadi kalau yang ada sebuah kenderaan sahaja sukar sedikit nak bergerak dengan nak jaga anak di PPS lagi," katanya yang mempunyai tiga orang anak.

Difahamkan rata-rata mangsa banjir terutama warga emas di PPsS berkenaan telah menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi seawal jam 8 pagi.

PPS yang diaktifkan pada Isnin, sehingga kini menempatkan seramai 50 mangsa yang terjejas dalam banjir kilat termasuk dari kawasan Bukit Tambun Bukit Balai, Kampung Pulau dan Kampung Belimbing Dalam dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!